Mandi wap ialah rawatan yang terkenal dan digemari
oleh pelbagai bangsa, lelaki serta perempuan. Rawatan tersebut dilaksanakan
dengan pelbagai cara, menggunakan bermacam-macam ramuan pula. Mengikut petua
Melayu, wanita bersalin atau selepas setiap kedatangan haid dimestikan merawat
alat sulit dengan mandi wap yang dikenali sebagai bertangas. Tujuan mandi wap
adalah untuk mengaktifkan pengeluaran peluh sebagai rawatan detoksifikasi
(mengenyahkan racun di dalam badan). Bagi ibu bersalin, selain proses
detosifikasi, rawatan bertangas juga membantu proses penyembuhan serta pengecutan
saluran sulit dan peranakan.
Ketika pantang, amalan bertangas disyorkan selepas 30 hari bersalin, iaitu apabila darah nifas mulai mengering. Demikian juga disyorkan pada hari yang keenam haid, dan dilakukan selama tiga hingga tujuh hari berturutan. Mengikut ilmu perbidanan Melayu, rawatan ini jika diamalkan dapat menghindari pelbagai penyakit puan, seperti keputihan, longgar saluran sulit serta berair, rahim rendah, inkontinansi dan prolaps.
Rawatan Mandi Wap Atau Bertangas
Rawatan ini dilakukan dengan tujuan untuk mengeluarkan darah cair atau darah bayam yang berwarna kuning kehijauan dan berbau tersangat busuk, seperti bau sayur yang busuk atau ikan yang hanyir.
Rawatan bertangas herba yang juga dikenali sebagai bertangas kering, menggunakan ramuan duri semalu bagi membantu mempercapatkan keluaran sisa toksik dan merawat luka-luka pada batu merian dan pangkal merian. Rawatan ini dapat memperkemaskan kedudukan merian dan memantapkan kesihatan batu merian dan pangkal merian.
Aturcara Bertangas
Bertangas dilakukan pada hari ke 31 pantang, selama 3 hari berturut-turut. lazimnya dimulakan dengan penyediaan sepokok suri semalu yang ditumbuk pecah dan digaul dengan segenggam jintan hitam serta air kapur.
Sediakan batu sungai atau batu tanah liat. Bakarlah sehingga betul-betul panas dan masukkan ke dalam periuk tanah. Tuang ramuan pohon semalu di atas batu tersebut. Letakkan periuk tanah di dalam tong tangas atau bangku yang berlubang di tengah. Duduklah di atas bangku berlubang itu sambil membungkus badan dengan kain atau selimut dari paras leher ke lantai bagi mendapatkan wap tangas.
Pada hari ke 34, bahan-bahan ditukar dengan baharu, iaitu ibu kunyit yang dilumatkan dicampurkan jintan hitam dan perahan air limau nipis.
Rawatan ini sebaik-baiknya menggunakan bara api di bawah periuk tanah supaya wapnya dapat bertahan lebih lama. Lakukan selama 7 hari berturut-turut bagi membantu mengeringkan saluran sulit serta batu merian daripada kudis, luka dan air busuk.
Semasa melaksanakan rawatan ini, ibu disyorkan melakukan senaman tarik nafas atau senaman kemutan otot penyokong rahim.
Rawatan Ukup Wangi
Rawatan bertangas wangi atau ukup wangi dipraktikkan pada hari ke 40 dalam pantang bersalin. Mengikut kefahaman ilmu perbidanan Melayu, pada masa ini rahim atau batu merain sudah balik ke sarang dan mengeram di rumahnya di sekitar tulang sulbi.
Lazimnya ukup wangi diteruskan oleh ibu bersalin hingga hari yang ke 100. Rawatan ini akan menghilangkan bau herba dan rempah ratus yang menyerap ke badan ibu selepas rawatan bertangas dan mandi wap pada peringkat awal bersalin. Rumusannya yang mengandungi bunga melur, bunga mawar, limau purut dan air mawar dapat menggalakan keluaran peluh yang beraroma harum dan menyegarkan. Amalan ini menghasilkan daya kelembapan kulit yang mantap dan kejap di sekitar bahagian alat sulit.
Rawatan ukup wangi turut diamalkan oleh wanita Melayu pada setiap kali selepas haid, iaitu selepas menjalani rawatan bertangas herba. Apabila diamalkan, aromanya kekal ke seluruh tubuh hingga ke umbi rambut. Ia juga dapat mengelakan kelesuan kulit, bau badan seperti di ketiak, lapisan payudara, tengkuk, rambut, celah paha, tongkeng, pusat dan faraj. Setiap bahagian yang disebutkan ini sangatlah sensitif bagi wanita yang bersuami. Bagi ibu bersalin yang penuh prihatin, ukup wangi perlu diberi tumpuan utama dalam proses menamatkan rawatan pantang bersalin.
No comments:
Post a Comment