"Sikap Isteri yang mengambil ringan tahap
kesihatan dan bentuk badan selepas bersalin akan membawa impak kepada
perhubungan suami isteri".
Penjagaan kesihatan ibu-ibu selepas bersalin penting dalam mengembalikan bentuk badan dan tahap kesihatan yang setanding dengan keadaannya sebelum mengandung. Ramai antara wanita yang tidak mempedulikan bentuk badan dan kesihatan mereka setelah bersalin. Cara begini salah dan boleh mengundang kepada masalah perhubungan suami isteri. Oleh itu, untuk menjaga kesihatan selepas bersalin, beberapa petua dilampirkan seperti berikut:
Memakan Jamu
Ibu-Ibu selepas bersalin, amat penting sekali menjaga kesihatannya. Terdapat pelbagai cara dilakukan oleh seseorang mengikut bangsa dan keturunan. Kalangan masyarakat Melayu, ubatan tradisional jamu sangat popular. Tambahan pula ubatan tradisional sekarang ini telah diproses dan dipersembahkan secara moden dan mudah didapati di toko-toko perubatan tradisional, moden dan juga di farmasi-farmasi, bahkan di supermarket pun telah ada dijual.
Antara kelebihan memakan jamu tradisional bagi ibu-ibu lepas bersalin adalah dapat memulihkan kembali organ dan saraf di dalam badan, otot-otot luar, mengecutkan peranakan, serta membuang bisa-bisa angin di urat saraf. Jamu juga boleh mengelakkan penyakit "meroyan" kerana jamu boleh memanaskan badan, melancarkan darah, membuang peluh kotor, melangsingkan badan, menegangkan otot yang kendur seperti payudara, menambahkan selera badan dan mengilangkan keletihan serta memulihkan tenaga.
Pemakanan jamu biasanya dilakukan secara teratur selama 40 hingga 60 hari selepas bersalin. Jamu juga baik diamalkan seterusnya selepas tempoh tersebut, kerana dapat menjarakkan anak bagi ibu-ibu yang kerap mengandung dan melahirkan anak.
Bertungku
Selain memakan jamu, bertungku juga dianggap penting. ini disebabkan, amalan bertungku dapat mengecutkan urat-urat serta peranakan yang kembang ketika mengandung dan melahirkan anak.
Bertungku juga boleh mengeluarkan saki-baki darah kotor di dalam rahim. Kepanasan bahang tungku boleh mengeluarkan peluh dan melancarkan darah serta memulihkan tenaga seterusnya menghilangkan kekejangan.
Berbengkung
Berbengkung amat baik bagi mencegah anggota peranakan jatuh dan membantu mengecutkan semula anggota peranakan. Selain itu berbengkung juga boleh mengempiskan perut. Sebelum mengikat bengkung, elok disapu minyak panas atau sebagainya. Masa berbengkung sekurang-kurangnya 44 hari. Bengkung merupakan tradisi turun temurun yang cukup baik diamalkan bagi mengembalikan semula bentuk badan seorang wanita itu.
Memakai Pilis
Pilis ialah ubat tradisional (ramuan herba) yang ditampal pada dahi ibu selepas bersalin. Para ibu selepas bersalin kebiasaannya akan menghadapi masalah pening kepala dan kemungkinan membawa kepada pitam.
Mengikut pengamal perubatan tradisional, terdapat beberapa ramuan untuk mengatasi masalah tersebut. Ramuan itu jika disapu atau ditampal pada dahi, boleh menghilangkan rasa mengantuk dan keletihan. Ini disebabkan, ibu-ibu yang baru bersalin, terutama jika bayi mereka selalu meragam dan menangis waktu malam, menyebabkan si ibu kurang tidur. Akibatnya, si ibu akan terasa mengantuk waktu siang. Rasa mengantuk waktu siang, terutama waktu pagi, seboleh-bolehnya hendaklah dielakkan. Ini adalah kerana, tidur waktu pagi boleh membawa pelbagai penyakit, terutama pada saraf dan tulang. Ini cukup berbahaya kepada ibu yang baru bersalin. Jadi untuk mengatasi masalah itu, hendaklah memakai pilis. Pilis boleh dibeli atau boleh didapati dalam set jamu lepas bersalin. Atau boleh dibuat sendiri dengan campuran ramuan-ramuan seperti bunga lawang, kulit kayu manis, jintan hitam, lada ekor, cucur atap, daun turi atau daun geti.
Menurut bidan tradisional, dengan menampal pilis di dahi, boleh mengelakkan para ibu menghadapi rabun mata pada usia yang muda.
No comments:
Post a Comment