Diet yang sihat dan seimbang seharusnya menjadi
amalan ibu hamil di sepanjang tempoh kehamilan. Ini adalah kerana setiap
makanan yang diambil oleh ibu juga merupakan makanan untuk tumbesaran dan
perkembangan bayi dalam kandungan. Pada trimester kedua, perkembangan janin
akan semakin cepat membesar, ini membuatkan ibu hamil perlu membekalkan gizi
yang seimbang bagi menampung perkembangan tersebut.
Ibu hamil yang tidak mengamalkan pemakanan yang
sihat selalunya akan berdepan dengan pelbagai masalah kesihatan. Ia juga akan
melibatkan bayi anda secara langsung. Bagi ibu, anda mungkin mengalami anemia
serta kurang khasiat makanan. Manakala kandungan anda pula, mungkin akan
mengalami masalah kurang berat badan, lahir sebelum masa (pramatang) dan lebih
serius lagi berkemungkinan berlakunya keguguran.
Ibu hamil seharusnya mengerti bahawa bayi
bergantung pada ibunya untuk menerima pelbagai nutrien penting bagi menjamin
perkembangan yang sihat. Janin akan menyerap setiap khasiat yang diperlukannya
melalui apa yang ibunya makan. Oleh itu, pengamalan diet yang sihat dan
seimbang serta lengkap adalah penting. Amalan pemakanan sebegini mampu memberi
perkembangan bayi yang sihat serta mempunyai berat badan yang normal.
Kekurangan nutrien, zat dan mineral yang diperlukan oleh bayi sepanjang berada dalam kandungan ibu boleh menjejaskan tumbersarannya. Untuk melengkapkan pemakanan yang seimbang ibu hamil seharusnya mengambil aneka jenis diet yang lengkap seperti karbohidrat, lemak, mineral vitamin, kalsium, protein, dan sebagainya.
Di samping itu, beberapa perkara yang boleh
diamalkan adalah:
Tambah pengambilan kalori harian. Disarankan antara
200 - 300 kalori.
Makan sedikit tetapi makan lebih kerap (5 - 6 kali
sehari).
Makan makanan dari sumber protein dan karbohidrat.
Amalkan pengambilan vitamin dan mineral seperti zat
besi.
Buahan Dan Sayuran
Buah-buahan dan sayur-sayuran yang segar adalah sumber vitamin dan mineral yang baik untuk ibu hamil. Namun, pastikan ia dicuci sebersihnya sebelum dimakan. Sayur-sayuran yang berdaun amat baik sebagai diet untuk ibu hamil, kerana ia rendah lemak serta kaya dengan mineral, vitamin dan asid folik. Disamping itu, amalan memakan buah-buahan yang kaya serat amat penting untuk ibu hamil menghindari masalah sembelit ketika hamil.
Makanan Tambahan
Supplemen sangat mudah diamalkan di samping dapat membekalkan nutrien yang diperlukan mengikut sukatan yang telah ditetapkan. Suplemen merupakan kaedah alternatif untuk ibu hamil bagi mendapatkan nutrien penting seperti kalsium, vitamin C, serat, asid folik, ferum, zat besi, asid lemak dan sebagainya. Pengambilan suplemen mampu melengkapkan nutrien yang diperlukan oleh ibu hamil.
Asid folik sangat penting sebagai zat makanan
tambahan bagi bayi dalam kandungan pada awal kehamilan iaitu pada trimester
yang pertama. Manakala ferum diperlukan sebagai zat tambahan bagi ibu yang
mengidap masalah kekurangan darah semasa kehamilan. Zat makanan tambahan amat
penting bagi ibu dan bayi. Namum begitu, sekiranya ibu hamil mengamalkan
pemakanan seimbang dan lengkap dari pelbagai jenis makanan segar, maka zat
makanan tambahan tidak lagi diperlukan. Ini adalah kerana makanan yang telah
diambil adalah sudah mencukupi untuk membekalkan zat, nutrien dan mineral yang
diperlukan oleh ibu dan bayi.
Snek Yang Sihat
Sepanjang kehamilan, ibu hamil lebih mudah berasa
lapar dari kebiasaan. Oleh itu, makanlah apabila berasa lapar. Selain mengambil
makanan yang agak berat, ibu hamil juga boleh mengamalkan makan snek yang sihat
seperti bijirin sarapan bersama susu, buah-buahan kering, sandwich, salad,
yogurt dan pelbagai lagi. Jangan amalkan pengambilan snek yang mengandungi gula
dan lemak yang tinggi seperti coklat, kek, ais krim, biskut, puding, kerepek
kentang serta air berkarbonat. Makanan yang tidak sihat akan mengakibatkan berat
badan bertambah disamping berlakunya kerosakan gigi. Bagi mengelakkan
berlakunya peningkatan kolesterol dalam badan, cuba elakkan pengambilan makanan
yang mengandungi lemak tepu yang tinggi.
Tip Pemakanan (Sediakan Bekalan)
Mudah dan kerap berasa
lapar adalah perkara normal buat ibu hamil. Jadi, anda disarankan untuk makan
lebih kerap tetapi dalam kuantiti yang sedikit bagi setiap pengambilan. Untuk
memastikan ibu hamil sentiasa mempunyai bekalan makanan, jom cuba cara ini :
Dalam Laci Meja Kerja
(Biskut atau roti yang
tinggi kandungan serat, buah-buahan kering, kekacang, susu ibu hamil)
Dalam Beg Tangan
(Biskut berserat
tinggi,kismis, kacang, buah-buahan segar, snek sayuran, sekotak susu)
Dalam Peti Ais Pejabat
(Air mineral, jus tanpa
gula, yogurt asli tanpa gula, keju Dutch atau Swiss, buahan segar, snek
sayuran, roti berserat tinggi).
No comments:
Post a Comment