KEPAKARAN Kak Engku adalah membantu Mama semua untuk mendalami dan mempratikkan ilmu Kehamilan, Berpantang, Penyusuan Dan Penjagaan Bayi secara online agar Mama lebih bersedia, sentiasa ceria dan teruja sebelum dan selepas kelahiran. Di samping menyediakan khidmat nasihat berkaitan barangan keperluan berpantang dan set bersalin yang pratikal digunakan dengan harga yang Murah serta Kualiti yang dijamin Tulin.

Tuesday 16 July 2013

Meroyan (Post Natal Blues)



Anda pernah dengar istilah meroyan? Menurut orang Melayu dulu-dulu, wanita lepas bersalin boleh mengalami meroyan iaitu ketidakstabilan emosi yang menyebabkan fikirannya terganggu. Bahkan terdapat bukti wanita yang menjadi pengidap kekal masalah jiwa selepas bersalin.

Memang ada benarnya. Dilihat secara saintifik, selepas bersalin, hormon yang tinggi dalam badan bertukar dan mencetuskan kemurungan. Kemurungan akan bertambah jika ibu tidak mendapat sokongan dan tunjuk ajar daripada ahli keluarga serta suaminya dari segi penjagaan bayi dan dirinya sendiri.

Maka wanita yang baru bersalin mesti mendapat sepenuh perhatian dan kasih sayang daripada keluarganya.


Tanda-Tanda Tekanan Emosi

Sering risau mengenai keselamatan bayi yang baru lahir.
Sukar tidur atau sering mengalami gangguan tidur.
Sering termenung
Dada berdebar-debar dan degupan jantung yang laju.
Tidak gembira dengan keadaan sekeliling
Merasakan diri tidak lagi menarik dan cantik seperti dahulu.
Kerap mengalami sakit kepala.

Sekiranya anda berada dalam situasi sebegini, luahkannya kepada ahli keluarga terdekat, terutamanya suami atau orang yang dipercayai agar mereka boleh mendengar dan memberikan nasihat.

Segera berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan dan pastikan anda bebas dari masalah ini. Belajar menerima hakikat bahawa manusia mesti menjalani dan mempelajari semua asam garam kehidupan.

Tanamkan sifat yang positif dan sayangkan diri sendiri. Jagalah kebersihan diri sebaiknya kerana kecantikan bermula daripada kekemasan dan makanan berzat.


Tanggungjawab Suami Dan Keluarga Sekiranya Perkara Ini Terjadi

Jangan biarkan ibu sendirian, ahli keluarga perlu menemaninya secara bergilir-gilir.
Tanamkan semangat dan ciri-ciri positif ke dalam dirinya.

Serlahkan pengertian kasih sayang kerana ia mampu menjadi ubat paling mujarab bagi segala jenis penyakit.


Gila Meroyan Selepas Bersalin

Terdapat beberapa gangguan emosi yang ketara sehingga menyebabkan masalah psikologi atau penyakit mental selepas melahirkan anak. Meroyan atau gila meroyan merupakan istilah umum orang Melayu terhadap masalah perubahan emosi selepas bersalin. Walaupun ia lebih sinonim diperkatakan oleh masyarakat Melayu dan lebih banyak dilihat dihidapi oleh wanita biasa, namun ia juga sebenarnya turut menimpa wanita profesional.


Gila meroyan

Gila meroyan adalah gangguan perasaan atau jiwa yang serius. Penyakit ini sering dikaitkan dengan masalah yang dialami wanita sewaktu atau selepas berpantang. Pada tahap ini, seseorang wanita yang mengalaminya mampu melakukan perkara-perkara yang boleh mencederakan dirinya, bayi serta orang di sekelilingnya.

Pendapat terkini mengatakan penyakit gila meroyan postpartum pyschosis juga seperti penyakit psikosis yang dialami oleh pesakit jiwa lain. Mujurlah keadaan ini hanya dialami oleh segelintir sahaja wanita selepas bersalin.

Sebenarnya tiada kaitan yang kukuh antara cara berpantang mengikut orang tua dan risiko untuk mendapat meroyan. Daripada kajian, ada sedikit sebanyak kesan positif bagi ibu-ibu muda yang mengamalkan urutan selepas bersalin dan bertungku semasa dalam pantang kerana ia dapat mengurangkan risiko kemurungan. Kajian tersebut turut mendapati ibu muda berpeluang berbual-bual sambil meluahkan perasaan semasa menjalani prosedur tersebut yang pada kebiasaannya berlangsung selama dua jam sehari dalam jangka masa dua minggu pertama selepas bersalin. Perbualan ini secara tidak langsung dapat mengurangkan stres yang dialami oleh ibu muda tersebut.


Gangguan perasaan

Gangguan perasaan selepas bersalin sebenarnya dialami oleh ramai wanita iaitu sehingga 85 peratus sewaktu tempoh berpantang. Namun, kebanyakannya hanya mengalami pada tahap yang ringan dan tidak membahayakan. Malah ia berlaku sekejap sahaja, biasanya tidak memerlukan rawatan perubatan. Bagaimanapun, dalam segelintir 10 peratus wanita, gangguan perasaan berlaku lebih mendalam dan berpanjangan.

Dalam bidang perubatan, gangguan perasaan selepas bersalin dikelaskan kepada tiga peringkat mengikut tahap keterukannya iaitu postpartum blues, postpartum depression dan postpartum psychosis (gila meroyan). Postpartum blues adalah masalah perubahan emosi yang normal dan tidak serius. Ia kerap berlaku kepada wanita selepas bersalin. Perubahan emosi ini memuncak pada hari ketiga hingga kelima selepas bersalin. Ia akan berkurangan selepas lebih kurang 10 hari bersalin dan akhirnya emosi mereka kembali kepada sediakala. Ia boleh berlaku selepas kelahiran pertama dan seterusnya kerana setiap kelahiran adalah berbeza. Ibu-ibu yang mendapat perubahan emosi ini mudah merasa penat dan keletihan.


Kemurungan

Gejala kemurungan selepas bersalin atau postpartum depression pula adalah gangguan psikologi yang perlu mendapat rawatan pakar. Ia lebih teruk dan mendatangkan kesan buruk kepada ibu dan bayi yang baru dilahirkan. Ia boleh berlaku satu dalam setiap lapan (1:8) ibu yang melahirkan anak atau 10 peratus hingga 20 peratus daripada ibu yang mengandung. Ia lebih kerap berlaku pada bulan pertama sehingga selepas setahun kelahiran anak. Malah ia boleh juga berlaku selepas keguguran atau kematian bayi dalam kandungan. Ibu-ibu yang menghidap kemurungan selepas bersalin mengalami perubahan emosi yang lebih teruk dan lebih lama berbanding perubahan emosi pada postpartum blues.


Psikosis

Psikosis selepas bersalin atau postpartum psychosis juga di panggil gila meroyan merupakan peringkat paling teruk yang jarang berlaku selepas bersalin. Ia berbeza daripada masalah psikosis yang biasa berlaku kepada masyarakat umum kerana kaitannya dengan proses bersalin, manifestasi yang lebih mirip masalah emosi dan prognosisnya adalah lebih baik.

Dalam kalangan 1,000 ibu yang melahirkan anak, satu hingga dua orang (1- 2: 1000) boleh diserang psikosis selepas bersalin. Ia biasanya bermula tiga hingga lima hari selepas bersalin dan dua pertiga daripada pesakit mendapat psikosis dalam dua minggu pertama selepas kelahiran.

Gejala psikosis selepas bersalin boleh berlaku sehingga satu atau dua tahun selepas bersalin. Ia bermula dengan gangguan emosi seperti perasaan resah dan tidak tenang. Mereka tidak dapat cukup tidur walaupun bayi tidur lena. Mereka sering merasa keletihan. Kemudiannya, ibu yang menghidap psikosis selepas bersalin ini akan mengalami emosi yang tidak stabil dan berubah-ubah. Terdapat tempoh kemurungan atau kesedihan yang melampau dan sering menangis. Psikosis berlaku apabila mereka mula mempunyai perasaan ragu-ragu, bercelaru, bercakap merapu dan mengeluarkan fakta-fakta yang sukar diterima akal yang waras. Separuh daripada mereka mempunyai pelbagai kepercayaan karut atau delusi.

Ada kalangan pesakit yang beranggapan bahawa bayinya cacat walaupun sebenarnya sihat, bayi yang dilahirkan bukan anak mereka, bayi yang dilahirkan membawa sial dan sebagainya. Satu perempat daripada mereka (25 peratus) mengalami gangguan halusinasi dengan mendengar suara-suara ghaib yang kadang-kadang memburukkan mereka, menyuruh pesakit membunuh bayi dan sebagainya.

Terdapat ibu-ibu yang mengalami psikosis selepas bersalin tidak mahu menjaga bayi mereka sendiri, membenci bayi tersebut dan ada yang mencuba membunuh bayi infanticide mereka sendiri. Kadar bunuh diri dalam kalangan ibu yang mengalami psikosis selepas bersalin juga adalah tinggi.


Panduan

Bagi mengurangkan masalah tersebut, pelajarilah tanggungjawab sebagai ibubapa daripada kawan-kawan, keluarga atau bahan-bahan bacaan sebelum mengandung.

Pastikan anda mendapat bantuan daripada suami, ahli keluarga yang lain untuk memberi sokongan emosi jika merasa tertekan. Dapatkan pembantu rumah atau ahli keluarga yang lain untuk menguruskan kerja-kerja seharian dan membantu penjagaan bayi dan anak anda yang lain semasa tempoh berpantang kerana anda masih lemah.

Rehat yang cukup juga adalah penting. Ambil udara segar di luar dan jangan hanya berada di rumah walaupun anda berpantang. Beri masa untuk diri anda sendiri. Pengambilan diet dan pemakanan yang berkhasiat juga penting dititikberatkan untuk kembali cergas.


Penyakit Meroyan

Mengikut ilmu perbidanan Melayu, penyakit meroyan atau merian hendaklah diberi perhatian kerana penyakit ini akan berlarutan seumur hidup sekiranya dibiarkan tanpa rawatan. Salah satu punca penyakit tersebut ialah darah bantal yang tidak keluar dengan sempurna atau teratur, yang seterusnya akan terjadi darah beracun. Darah beracun ini akan menguasai urat saraf dan mengganggu keseimbangan hormon wanita.


Gila Meroyan

Sekiranya darah bantal tidak keluar dengan sempurna, bahagian sulit akan berbau busuk. Bau itu tidak dapat diatasi walaupun dicuci dengan apa cara sekalipun. Ini kerana darah busuk yang berbau sperti bangkai masih tertinggal dan melekat atau tersangkut seperti ketulan kecil atau besar di dalam lapisan tisu rahim (endometrium).

Keadaan tersebut mungkin menjadi punca pengeluaran haid yang tidak teratur atau tidak lawas. Bahkan, sekiranya berlarutan sepanjang tempoh pantang bersalin, darah busuk itu akan menjadi punca sakit kepala, kemurungan dan seterusnya membawa kepada sakit angin meroyan, angin kotor dari rahim atau disebut juga sebagai mother's blues. Terdapat beberapa jenis penyakit meroyan yang dikenal pasti oleh pakar perubatan tradisional Melayu.


Meroyan Api

Dinamakan meroyan api kerana semasa dalam pantang, ibu akan menjadi bengis, garang, cepat marah sehingga boleh sampai ke tahap menjerit-jerit dan lupa. Kemarahan adalah melampau, adakalanya menyebabkan ibu tersebut menghempas atau membaling anak kecilnya (yang selalu menangis).


Meroyan Kentung (Kertung)

Ibu akan menjadi murung, hiba, sayu, mudah menangis, perasa dan adakalanya kelihatan seperti bodoh sehingga apabila berlarutan tidak dapat membezakan antara anak dengan bantal.


Meroyan Urat

Ibu mengalami ketegangan urat saraf sehingga sentiasa mengeraskan diri seperti mengalami kekejangan otot atau disebut oleh masyarakat di utara Semenanjung sebagai "kediang badan".


Meroyan Lendir

Ibu sentiasa kelihatan pucat, lesu, mata pudar dan keguguran rambut serta badan menjadi susut.


Meroyan Tinggal

Ibu sentiasa berleter, bercakap seorang diri dan mengambil peluang untuk lari dari rumah. Ibu yang mengalami masalah ini mungkin tidak mahukan bayinya sendiri. Dia sering tertawa, mengilai seperti dirasuk atau dalam kes yang teruk tidak mengenali suaminya sendiri.


Meroyan Bulu

Ibu sentiasa berasa seram sejuk, bulu roma sentiasa berdiri tegak dan adakalanya menggeletar kesejukan sehingga menyebabkan kancing gigi. Adakalanya mereka akan kelihatan seperti terkena sampuk.


Meroyan Kulit

Ibu berasa gatal serta miang seluruh badan dan tergaru-garu seperti kelakuan kera. Akibat sering menggaru itu, seluruh badan seperti sedang mengalami penyakit kulit.

No comments:

Ingin Bertanya?

Nama:
Email:
Mesej:

Kak Engku Mengalu-alukan Sebarang Cadangan & Soalan.


Put a website form like this on your site.

Borang Pesanan

Nama:
Email:
No. Tel:
Alamat Penghantaran:
Produk:
Kuantiti:
Harga Anda:
Brg Nak Bila?:

Isikan Je Harga Yang Anda Inginkan, Asalkan Harga Tu LOGIK, Pasti Kak Engku Setuju. Kat Engku Akan Memberi Respon Secepat Yang Mungkin....Insya Allah.


Click here to create your own form.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...