KEPAKARAN Kak Engku adalah membantu Mama semua untuk mendalami dan mempratikkan ilmu Kehamilan, Berpantang, Penyusuan Dan Penjagaan Bayi secara online agar Mama lebih bersedia, sentiasa ceria dan teruja sebelum dan selepas kelahiran. Di samping menyediakan khidmat nasihat berkaitan barangan keperluan berpantang dan set bersalin yang pratikal digunakan dengan harga yang Murah serta Kualiti yang dijamin Tulin.

Tuesday 16 July 2013

Luka Bersalin Punca Murung



KATA orang tua-tua, wanita perlu berpantang kerana proses mengandung dan bersalin menuntut tenaga dan perubahan yang bukan sedikit kepada organ tubuh.

Perubahan itu melibatkan organ-organ seperti organ reproduktif (vulva, faraj, servik, ovari dan rahim), tulang dan sendi-sendi terutama pada tulang belakang serta pelvis. Perubahan yang agak ketara juga berlaku pada kulit, muka dan perut ibu. Payu dara juga akan membengkak. Kulit di bahagian puting (areola) berwarna gelap. Berlaku juga perubahan pada sistem kardiovaskular (jantung), darah dan komponennya, pernafasan, perkumuhan buah pinggang, usus, penghadaman dan metabolisme.

Lazimnya, perubahan berlaku dengan cepat sejurus kelahiran. Sebagai contoh, saiz rahim yang begitu besar ketika hamil sembilan bulan akan terus mengecut ke paras bawah pusat dengan anggaran berat kira-kira 900 gram (saiz lima bulan hamil). Proses pengecutan ini menyebabkan kesakitan.


Luka Episiotomi

Servik akan tercedera semasa proses kelahiran bayi. Oleh itu, lubang servik bagi ibu-ibu yang telah melahirkan anak secara normal berbentuk melintang, manakala yang belum pernah melahirkan anak secara normal berbentuk titik. Lubang servik ini akan mengecut dalam masa seminggu selepas bersalin jika tiada jangkitan.

Selain itu, wanita yang bakal melahirkan anak juga akan berdepan dengan luka episiotomi.
Luka episiotomi terhasil melalui potongan yang dilakukan di kawasan perineum sewaktu proses bersalin bagi tujuan menyediakan bukaan yang lebih luas untuk bayi.

Luka episiotomi ini lazimnya sembuh dalam masa 10 hingga 14 hari, bergantung pada cara penjagaan dan kebersihan diri. Tidak dinafikan bahawa seramai 50 peratus wanita boleh mengalami kemurungan dalam minggu pertama selepas bersalin. Jika itu berlanjutan melebihi lima hari, doktor perlu dirujuk segera.

Antara penyebab kemurungan adalah rasa tidak selesa seperti sakit pengecutan rahim dan jahitan luka pada faraj, keletihan serta kelesuan akibat kekurangan tidur.

Ia juga terjadi kerana kegusaran tentang kebolehan menyusu dan menjaga bayi ataupun risau tentang bentuk badan yang kurang menarik.

Oleh itu, ibu yang baru sahaja melahirkan bayi memerlukan sokongan dalam beberapa aspek seperti sokongan fizikal, emosi dan melalui teknik mengurut. Suami, keluarga dan juga bayi yang dilahirkan itu boleh menjadi motivasi yang diperlukannya.

Selepas bersalin lazimnya wanita Melayu di Malaysia akan berurut selama beberapa hari. Ada ibu berurut selama tiga hingga tujuh hari. Kebiasaannya, urutan dilakukan oleh bidan, tukang urut tradisional ataupun ahli fisioterapi.

Semua ibu yang telah bersalin sama ada secara normal ataupun secara pembedahan boleh berurut seluruh badannya kecuali di bahagian perut.

Boleh dikatakan kebanyakan tukang urut akan mengurut seluruh badan ibu termasuk bahagian perut.

Namun begitu, urutan di bahagian perut tidak digalakkan kerana rahim sedang melalui proses pengecutan. Oleh itu, mengurut untuk mengangkat rahim tidak digalakkan kerana ia tidak mempunyai sebab saintifik.

Rahim yang 'jatuh' berlaku atas sebab-sebab lain seperti banyak kelahiran, kelahiran anak yang besar, menopaus dan mempunyai masalah sembelit ataupun batuk yang kronik.

Di samping penjagaan kebersihan, proses penyembuhan memerlukan makanan dan minuman dengan khasiat seperti vitamin, protein dan zat galian. Kajian menunjukkan vitamin C sangat diperlukan dalam proses penyembuhan selain protein.


Rekahan Kulit Perut

Lazimnya, kulit perut ibu bersalin akan menjadi lembut dan menggeleber kerana otot pada perut terpisah untuk beberapa minggu selepas bersalin.

Rekahan pada kulit perut akibat bersalin pula akan bertukar warna menjadi pucat. Proses ini akan mengambil masa selama enam hingga sembilan bulan untuk kembali normal.

Keadaan terlebih regangan ini berlaku pada kulit perut disebabkan kehamilan kembar dua atau tiga. Untuk mengembalikan kekuatan otot perut, perlulah melakukan senaman otot perut. Kekuatan ini tidak berlaku dengan hanya memakai bengkung dan membalut perut sahaja.

Secara purata, seseorang ibu akan bertambah berat badan sebanyak 12.5 kilogram sepanjang kehamilan.

Kajian menunjukkan kira-kira 6.5 kilogram akan hilang dalam bentuk berat bayi, berat uri dan air ketuban. Adakalanya berat ibu akan meningkat beberapa hari selepas bersalin kerana lebihan air.

Berat badan ibu boleh stabil dalam masa 10 minggu selepas bersalin. Bagi ibu-ibu yang menyusukan bayi, berat badan mereka akan menurun lebih cepat berbanding ibu yang memberi susu formula kepada bayinya.

Wanita selepas bersalin juga akan menghadapi beberapa risiko penyakit kerana banyak mengalami luka dalaman.

Tambahan pula, berlaku kekurangan ketahanan badan semasa hamil dan selepas bersalin. Ketulan darah dan pendarahan menjadi makanan kuman seterusnya meninggikan risiko jangkitan.

Jangkitan akan melambatkan proses penyembuhan dan luka-luka itu boleh bernanah. Jika parut pada rahim semasa pembedahan (caesarian) dijangkiti kuman, parut yang sudah sembuh tidak dapat sembuh dengan baik.

Itu mendatangkan risiko kepada kehamilan akan datang. Jangkitan kuman juga boleh menyebabkan saluran tiub fallopio tersumbat lalu menjejaskan peluang untuk hamil lagi.

Adakalanya jangkitan pada rahim merebak ke dalam saluran darah. Ia boleh menjadi serius dan membawa maut jika tidak dirawat dengan cepat dan tepat.

Oleh itu, jika seseorang ibu demam semasa dalam pantang, jangan ambil mudah. Segeralah berjumpa doktor.


Sakit Pinggang & Sakit Belakang

Ibu-ibu yang baru lepas bersalin sering rasa sakit pinggang dan sakit belakang. Masalah ini terjadi akibat penggunaan seluruh tenaga dan urat saraf semasa melahirkan bayi. Tidak dinafikan, ada juga sesetengah wanita sudah mengalami sakit pinggang sejak hamil lagi.

Semasa mengandung, rahim yang semakin membesar menyebabkan otot-otot abdomen menjadi lemah dan mengubah posisi badan. Akibatnya, berlaku tekanan kepada belakang badan. Masalah ini akan berterusan sehingga otot-otot perut kuat semula.

Sakit pinggang dan belakang ini juga boleh terjadi kesan daripada proses bersalin yang lama. Semasa bersalin, otot-otot yang biasanya tidak digunakan akan sama-sama bekerja keras. Kesannya, pinggang dan belakang badan rasa sakit. Pergerakan yang agak terbatas ketika dalam pantang pun boleh menjadi sebab seseorang ibu itu rasa sakit pinggang dan belakang.

Tidak dinafikan, ibu-ibu yang baru belajar menyusukan bayi turut mengalami sakit badan. Mungkin kerana mereka belum mahir cara yang betul menyusukan bayi. Walau bagaimanapun, masalah sakit belakang dan sakit pinggang ini akan beransur pulih dalam tempoh beberapa bulan selepas bersalin.

Bagi melegakan masalah ini:

Minum air rebusan halia tua bersama gula dan garam pada waktu pagi dan petang.

Sepotong halia sebesar ibu jari, tumbuk halus halia dan campurkan dengan 2 gelas air sedikit gula. Rebus sehingga mendidih. Setelah mendidih, biarkan sejuk dahulu sebelum diminum dua kali sehari. Amalkan selama dua hari berturut-turut.

Makan jamu atau ubat periuk.

Makan kuning telur mentah-mentah selama tiga hari berturut-turut.


Aktiviti sesuai untuk kurangkan rasa sakit belakang dan sakit pinggang:

Pastikan tubuh anda berada dalam posisi yang betul setiap kali berjalan atau berdiri

Berjalan-jalan. Senaman ringan ini dapat membantu mengurangkan sakit belakang dan selamat dilakukan walaupun anda baru bersalin. Demi keselamatan dan kesihatan anda, lakukannya secara perlahan-lahan.

Jika ingin mengangkat barang, pastikan anda membengkokkan lutut dan jangan membongkok.

Berurut dapat melegakan tekanan pada otot-otot yang sakit walaupun pada hakikatnya tidak dapat menyembuhkan sakit pinggang dan sakit belakang

Mandi air suam

Tuam kawasan yang sakit dengan pad pemanas.


Bentan

Bentan ialah keadaan bagi ibu-ibu selepas bersalin yang secara tiba-tiba mengalami rasa seram sejuk melampau dan pening kepala. Bentan boleh berlaku akibat memakan benda yang berbisa, melakukan kerja-kerja berat atau ibu jari kaki tersepak benda keras.

Sekiranya keadaan ini berlaku, ibu tersebut hendaklah secepat mungkin dan cuba panaskan badan dengan berselimut serta menyapu minyak panas ke seluruh badan. Mereka turut disarankan agar meminum secawan kopi atau air gula panas.

Berdasarkan amalan masyarakat Melayu, semasa berpantang, pemakanan adalah perkara utama yang dijaga. Ibu-ibu disarankan agar elakkan daripada memakan ikan berbisa seperti bawal hitam, pari, duri dan sembilang kerana dikhuatiri boleh menyebabkan bisa atau bentan pada pintu rahim. Selain ikan berbisa, ikan yang boleh mengakibatkan gatal serta menimbulkan reaksi alahan juga perlu dielakkan. Antaranya ialah ikan kembung, tamban, cencaru dan tongkol.

Ikan-ikan yang sesuai untuk ibu selepas bersalin ialah seperti ikan haruan dan ikan yu. Ikan-ikan ini dikatakan boleh memulihkan luka yang dialami sepanjang proses kelahiran.


Sekiranya mengalami bentan, beberapa kaedah rawatan dicadangkan:

Cekur, lada hitam, halia dan bawang putih ditumbuk dan dibalut pada ibu jari kaki.

Sapukan sehiris bawang merah pada ibu jari kaki.

Untuk memulihkan bentan yang teruk, bolehlah minum air rebusan secekak daun sawi dan jintan manis bersama gula batu. (Rawatan ini juga boleh diamalkan dua kali seminggu semasa dalam pantang untuk mencerahkan mata).

Gosokkan sedikit kunyit hidup dengan kapur makan lalu disapukan pada kuku kaki dan tangan.


Info Untuk Mengelakkan Bentan

Jagalah pemakanan dan elakkan mandi menggunakan air sejuk.

Para ibu juga digalakkan mencium jintan hitam yang telah dipunjut dan diikat.

Ibu-ibu dikehendaki sentiasa menjaga kaki, memakai stoking dan jangan tersepak benda-benda keras.


Sembelit

Susah membuang air besar memang masalah biasa bagi ibu-ibu selepas bersalin. Tapi, jika tidak dirawat, kesannya cukup menyeksakan dan boleh menjadi trauma. Kesukaran membuang air besar atau lebih dikenali sebagai sembelit ini disebabkan oleh banyak perkara. Antaranya kurang minum air dan pengambilan ubat-ubatan yang bersifat panas seperti jamu dan ubatan herba. Bagi masyarakat Melayu, ibu-ibu yang baru lepas bersalin dilarang minum banyak air kerana dikatakan boleh menyebabkan saluran faraj berair dan perut jadi buncit.

Selain itu, kurang makan sayur-sayuran dan buah-buahan turut menjadi penyumbang kepada sembelit. Alasannya kebanyakkan sayur-sayuran dan buah-buahan “sejuk”. Pengambilannya dikatakan boleh memudaratkan ibu dalam pantang padahal sayur dan buah kaya dengan serat yang berfungsi membantu proses penghadaman dan mempercepatkan aliran keluar sisa makanan dari tubuh.

Sembelit selepas bersalin terjadi kerana perjalanan najis di dalam saluran usus menjadi perlahan. Keadaan ini disebabkan oleh beberepa faktor;

Otot pada abdomen menjadi kendur menyebabkan tekanan pada bahagian dalam abdomen lebih rendah daripada biasa.

Otot pada usus juga mengendur kerada kadar hormon progesteron yang tinggi semasa hamil.

Takut hendak membuang air besar kerana bimbang jahitan pada luka episiotomi terbuka atau rasa sakit pada bahagian tersebut.


Untuk Mengatasi Masalah Ini, Cubala Cara-Cara Ini:

Banyak minum air iaitu kira-kira 6 hingga 8 gelas sehari. Jika anda menyusukan bayi, kuantitinya perlulah ditambah. Air akan membantu penghasilan susu yang banyak, mengurangkan jangkitan kuman dan pundi kencing dan mengurangkan sembelit. Dehidrasi akibat kekurangan air kerana terlalu berpantang boleh menyebabkan luka lambat baik dan air susu menjadi kurang.

Jika terasa ingin membuang air besar, segeralah ke tandas walaupun anda rasa kurang selesa terutamanya dalamminggu pertama selepas bersalin. Ketahuilah bahawa lebih lama anda menahan diri daripada membuang air besar, lagikeras najis anda dan pastinya akan memburukkan lagi keadaan.

Lakukan banyak pergerakkan seperti berjalan dan senaman ringan walaupun ketika dalam pantang. Cara ini akan memudahkan anda membuang air besar.

Makan makanan yang kaya serat seperti sayur-sayuran dan buah-buahan. Selain serat, makanan ini juga mengandungi banyak vitamin seperti vitamin C. Vitamin C diperlukan untuk memulihkan tisu-tisu yang tercedera semasa kelahiran bayi dan bagi meneyembuhkan luka episiotomi ataupun luka caesarean.


Buasir

Buasir atau hemoriod adalah penyakit yang terjadi pada bahagian dubur dan dikesan apabila saluran dubur membengkak. Penyakit ini boleh berlaku samaada di dalam dubur atau di kawasan luar. Biasanya pesakit akan berasa sakit akibat tekanan pada saluran dubur yang bengkak sehingga menyebabkan proses pembuangan air besar menjadi sangat sakit.


Langkah Pencegahan:

Makan makanan seimbang dan yang kaya serat seperti ulam-ulaman.

Minum air sekurang-kurangnya 1.5 liter hingga 2 liter sehari.

Elakkan daripada memakan makanan yang boleh menyebabkan gangguan pada usus seperti makanan yang terlalu pedas atau terlalu berempah.

Segeralah dapatkan rawatan jika anda rasa ada bengkak pada dubur dan najis berdarah.


Petua Mencuci Buasir

Ambil segenggam akar pokok kangkung, bersihkan dan rebus. Apabila sudah sejuk, minum air rebusan tadi dan tinggalkan sedikit untuk membasuh bahagian dubur.


Kencing Tidak Lawas

Masalah kencing tidak lawas yang dialami oleh ibu-ibu selepas bersalin dipercayai disebabkan oleh kedudukan rahim “lari” dari tempat asalnya. Untuk mengatasinya, beberapa kaedah tradisional menjadi amalan.

Tempoh berpantang sangat penting bagi ibu-ibu selepas bersalin kerana inilah peluang untuk mereka berehat kerana kehamilan dan kelahiran menyebabkan beberapa fungsi badan terganggu. Begitu jugalah dengan sistem peranakan. Antara masalah yang timbul ialah kencing tidak lawas. Masalah ini dikatakan berpunca daripada kedudukan rahim tidak berada pada tempat sepatutnya. Biasanya untuk mengatasinya, urutan menjadi pilihan. Peranakan akan diurut untuk menaikkan kembali atau meletakkannya ke tempat asalnya.

Selain urutan, cara lain yang turut diamalkan ialah:

Meminun air rebusan daun ketumpang air, satu atau dua kali sehari.
Meminum air basuhan beras kali ketiga segelas setiap hari.

Info

Otot sekitar rahim boleh dikuatkan kembali dengan melakukan senaman kegel. Senaman kegel dilakukan dengan cara mengemut faraj seperti menahan  kencing. Tahan dan kira sehingga bilangan sepuluh sebelum berhenti dan kemut kembali beberapa ketika selepas itu. Ulang sebanyak empat kali untuk setiap sesi.

Disarankan agar anda melakukan senaman ini sebanyak tiga sesi iaitu pada waktu pagi, petang dan malam. Jangan menahan nafas ketika melakukannya. Jika dilakukan setiap hari, kesannya akan dapat dirasai dalam tempoh dua hingga tiga bulan.

Berpantang adalah waktu terbaik untuk melakukan senaman kegel kerana turut dibantu oleh hormon yang banyak dalam tubuh. Walau bagaimanapun, senaman ini tidak dicadangkan kepada wanita yang bersalin secara pembedahan atau terlalu banyak koyak pada vagina. Umumnya, senaman kegel mampu mengembalikan 50 peratus kekuatan otot vagina, malah ada kes yang berjaya pulih 100 peratus. Namun, hasilnya berbeza antara individu mengikut tahap masalah masing-masing.


Sakit Kepala

Sakit kepala ialah rasa sakit dalam kepala dan merupakan masalah biasa termasuklah ibu selepas bersalin. Bagi ibu-ibu dalam pantang,sakit kepala boleh terjadi akibat kurang tidur atau kurang darah.

Rasa sakit yang dialami mungkin berlarutan selama beberapa hari sebelum sembuh sepenuhnya.Untuk melegakan sakit kepala, beberapa rawatan disarankan:

Limau kasturi atau limau nipis diperah airnya, dicampurkan dengan sedikit air kosong dan disapu pada dahi.

Daun bunga raya, daun bunga melur dan jintan hitam diramas di dalam semangkuk kecil air dan digunakan untuk menjaram kepala.

Ambil 7 helai daun sirih, kemenyan sebesar ibu jari dan 3 ulas bawang merah. Giling kesemua bahan tersebut dan tampalkan pada dahi.

Giling daun serai dan jintan hitam sehingga menjadi pes dan kemudian tampal pada dahi.

Boleh juga menggunakan pilis atau campuran herba lalu disapukan pada dahi.

Ambil segenggam daun dan bunga melur, ramas dalam semangkuk kecil air dan jaram pada kepala.

Ambil batang daun lemuni yang lembut lebih kurang 1 kg, kemudian masukkan ke dalam sarung bantal yang anda gunakan dan tiurlah dengannya. Amalkan selama 2 hingga 3 hari.

Ramas daun ketupang air dan letakkan di dahi untuk melegakan sakit kepala.


Panduan Mengatasi Dan Mencegah Sakit Kepala

Tidur terlentang

Jangan membuat gerakan pada bahagian kepala, tangan atau bahagian lain.

Usahakan jangan memejamkan mata kerana akan membuatkan mata semakin berputar.

Tataplah satu titik secara terus sehingga mata terasa ikut berputar dan dapat dikendalikan dan goncangan dirasakan berkurangan.

Ambil ubat sakit kepala yang disarankan oleh doktor.


Bengkak Pangkal Rahim

Sebaik sahaja bersalin, rahim akan mula mengecut. Biasanya tempoh enam hari diperlukan untuk rahim mengecut ke saiz dan kedudukan asalnya. Proses ini digelar involution.

Akan tetapi, sekiranya dalam tempoh tersebut rahim masih belum kecut atau dalam erti kata lain membengkak dan pendarahan berterusan, berkemungkinan terdapat masalah pada rahim seperti ada cebisan uri tertinggal atau jangkitan kuman. Untuk memastikan rahim berada dalam keadaan baik, sihat dan pulih seperti sedia kala, rawatan yang betul perlu diberikan. Antara kaedah rawatannya ialah:


Berendam

Berendam dalam besen yang mengandungi air daun sirih, daun inai, rempah ratus, jintan hitam, kayu cendana, garam jantan (semua bahan direbus dan airnya yang suam digunakan untuk berendam).


Bertungku

Tungku perlu dibalut dengan kain yang telah dilapikkan dengan daun mengkudu atau daun sirih. Ada juga yang menggunakan daun lengkuas, daun pandan dan daun mengkuang.


Berbengkung

Sebelum berbengkung, perut biasanya akan disapukan dengan ramuan khas yang juga dikenali sebagai tapel untuk mengurangkan rasa sakit pada perut yang dialami selepas bersalin. Tapel merupakan campuran lima titik minyak kayu putih, tiga titik minyak gandapura, kapur sirih dan perahan limau nipis.


Berurut

Minyak urut boleh disediakan sendiri dengan menggunakan minyak kelapa, tiga sudu besar halba, halia sebesar ibu jari, kunyit hidup, tiga ulas bawang putih dan lima biji bawang merah. Minyak kelapa boleh juga dibuat sendiri dengan menggunakan santan daripada sebiji kelapa yang dimasak sehingga menjadi minyak.


Urat Betis Timbul

Urat betis timbul atau juga dikenali sebagai Vena Varikos adalah keadaan apabila jumlah darah yang mengalir dalam urat bertambah daripada biasa terutamanya ketika hamil. Akibatnya urat darah biru timbul pada betis dan paha. Kerap kali urat ini terus timbul walaupun sudah bersalin. Namun, jangan risau kerana masalah ini akan hilang dengan sendirinya selepas beberapa bulan melahirkan anak.

Bagi merawat masalah urat betis timbul, beberapa cara dicadangkan:

Sapukan param pada kaki

Tepung beras, halia dan cuka nipah dibancuh dan disapu setiap hari pada tempat yang bermasalah sambil diurut perlahan-lahan.

Hancurkan bawang putih dan gosok pada tempat yang terdapat urat timbul

Campurkan sebuku ragi, sedikit air limau nipis dan air. Kacau hingga sebati. Sapukan pada urat yang timbul pada setiap malam. Semasa tidur letakkan kaki di atas bantal.

Campurkan sedikit asam jawa dengan air sehingga pekat. Sapukan pada kaki setiap malam.

Rebus kacang hijau dan minum airnya setiap pagi dan petang

Rendamkan kaki di dalam air suam selama 15 hingga 20 minit setiap hari. Lakukan sehingga mendapat hasil yang memuaskan.

Urut urat yang timbul itu dengan minyak urut secara perlahan-lahan.


Cara Mengelakkan Urat Betis Timbul

Amalkan minum air panas atau suam setiap hari

Sapukan minyak panas pada kaki anda sebelum tidur

Sebelum tidur malam, duduk di atas lantai dan sandarkan badan pada dinding. Lunjurkan kaki dan angkat kaki ke atas setinggi mungkin selama 10 minit.


Rengat

Rengat atau rasa sakit pada bahagian peranakan sering mengganggu ibu-ibu lepas bersalin. Walau bagaimanapun, rengat tidak akan berpanjang jika dirawat segera. Saikt rengat yang seakan-akan sakit sebelum bersalin membuatkan ibu-ibu dalam pantang rasa tidak selesa. Masalah ini terjadi akibat pengecutan rahim.

Proses pengecutan rahim menghalang aliran darah keluar dari rahim seterusnya mengurangkan risiko tumpah draah. Rengat juga berlaku semasa proses penyusuan. Hal ini kerana ini kerana ketika bayi menyusu, hormon oksitosin yang dihasilkan oleh kelenjar pituitari untuk merangsang pengeluaran susu dari kelenjar mamari turut membantu mempercepatkan proses pengecutan rahim dan mengembalikannya kepada bentuk dan saiz asal. Lazimnya rahim mengambil masa kira-kira empat hingga enam minggu untuk kembali ke saiz normal.

Bagi wanita yang mengalami rengat, disarankan agar meminum kopi tanpa gula dan sapukan minyak tanah pada ari-ari. Selain itu, ibu-ibu boleh juga menuam bahagian ari-ari untuk meredakan kesakitan yang dialami. Sekiranya rengat yang dialami itu berterusan dan rasanya sangat sakit, anda perlulah berjumpa doktor untuk memastikan apakah masalah sebenar.


Untuk Mengecutkan Rahim:

Minumlah air rebusan rumput jarum emas setiap hari.

Ambil sebiji atau 2 biji manjakani, rendam dalam air panas selama beberapa minit. Setelah manjakani lembut, tumbuk halus-halus dan gentel sebesar biji kacang dan telan. Amalkan pagi, petang dan malam.

Tumbuk kunyit hidup sehingga lumat, ambil jusnya bersama sedikit hampas, campurkan dengan sebiji kuning telur dan sedikit madu lebah asli. Kacau dan minum sehingga habis. Amalkan selama 3 hari berturut-turut.


Bau Badan

Peluh dihasilkan oleh dua kelenjar iaitu kelenjar accrine dan kelenjar apocrine. Kelanjar accrin menghasilkan peluh yang tidak berbau dan telah berfungsi sejak bayi. Biasanya peluh keluar pada tangan, punggung dan dahi. Manakala kelenjar apocrine pula terdapat di beberapa tempat tertentu tubuh seperti pada ketiak, kemaluan dan hidung.Kelenjar ini mula aktif selepas baligh dan mengeluarkan bau lemak. Bau lemak ini kemudian akan bertindak balas dengan bakteria yang ada pada rerambut lalu menghasilkan bau busuk.

Untuk mengatasi masalah ini, beberapa petua lama boleh diamalkan:


Hirisan Limau

Amalkan mandi air hirisan limau nipis. Anda boleh juga sapukan hirisan limau nipis pada tubuh. Bau wangi limau juga akan membuatkan anda lebih yakin.


Tawas

Selepas mandi, ambil seketul tawas. Basahkan tangan dan sapukan tawas ke permukaan tangan. Selepas itu, sapukan pada tubuh. Elakkan daripada menyapu terus tawas ke badan kerana permukaan tawas tidak licin dan dikhuatiri akan mengakibatkan luka-luka kecil.


Daun Limau Nipis

Ambil beberapa helai daun limau nipis yang masih muda, tumbuk sehingga lumat. Kemudian, gentel kecil-kecil supaya mudah ditelan. Amalkan memakannya tiga kali sehari bau tubuh hilang.


Pucuk Daun Jambu Batu

Ambil beberapa helai pucuk daun jambu, bersihkan dan kisar sehingga halus.Kemudian, lumurkan pada kulit sebelum mandi petang.


Timun

Ambil beberapa biji timun dan kisar untuk mendapatkan jusnya. Kemudian, lumurkan jus timun tadi ke seluruh badan terutamanya pada bahagian ketiak.Biarkan selama beberapa minit sebelum membersihkannya. Lakukan sekali setiap dua minggu sehingga bau badan hilang. Jika diamalkannya secara berterusan, badan anda akan rasa segar dan bebas daripada penyakit kulit.


Serai Dan Limau Kasturi

Ambil beberapa batang serai dan beberapa biji buah limau kasturi, rebus sehingga mendidih. Kemudian, campurkan rebusan tadi ke dalam air mandian dan mandi dengannya setiap pagi dan petang selama seminggu.


Daun Sirih Dan Daun Nanas Muda

Rebus daun sirih dan daun nanas muda yang telah dicampurkan dengan garam. Amalkan sekurang-kurangnya selama seminggu.


Hampas Kelapa

Lumurkan hampas kelapa ke seluruh badan dan biarkan selama 45 minit. Selepas itu, barulah dibilas dengan air bersih.


Beras Dan Asam Jawa

Ambil segenggam beras dan goreng tanpa minyak sehingga hangus. Ramas sehingga hancur dan bancuh dengan air asam jawa. Kemudian, gosokkan pada bahagian tubuh yang mudah berpeluh seperti ketiak. Biarkan selama 10 minit sebelum dibersihkan. Lakukanlah sekerap mungkin.


Hampas Teh

Gosokkan hampas teh yang telah digunakan pada seluruh tubuh terutamanya pada bahagian ketiak selama 15 minit sebelum mandi. Amalkanlah dua kali seminggu.


Gatal Pada Alat Sulit

Ramai ibu lepas bersalin rasa gatal pada kemaluan. Hal ini terjadi mungkin disebabkan darah nifas dan kegagalan menjaga kebersihan pada kawasan sekitarnya. Darah nifas pada tuala wanita mengalakkan pembiakan bakteria kerana kandungan protein dalam darah menjadi sumber makanan bakteria. Jangkitan bakteria ini jika tidak diatasi segera boleh merebak hingga dalam anggota kelamin seterusnya menyebabkan timbulnya pelbagai komplikasi. Untuk memastikan tiada sebarang jangkitan kuman pada alat kelamin, tiada rasa gatal dan agar rasa tidak selesa segera sembuh, air rebusan campuran beberapa herba dicadangkan:


Daun Sirih Dan Daun Inai

Ambil beberapa helai daun sirih dan daun inai. Rebus sehingga mendididh dan warna air berubah menjadi kekuning-kuningan. Padamkan api dan biarkan air suam. Gunakan air rebusan ini untuk mencuci kemaluan setiap kali membuang air kecil atau rasa tidak selesa.


Daun Sirih

Ramas beberapa helai daun sirih bersama seliter air suam. Tapis dan gunakan air itu untk mencuci alat kelamin. Amalkanlah setiap pagi dan malam sebelum tidur. Selain menghilangkan gatal dan bau, air ini juga dikatakan berupaya merapatkan kembali alat kelamin.


Daun Pegaga

Sekiranya daun sirih tidak dapat membantu, ambil secekak daun pegaga bersama akarnya dan cuci bersih. Rebus di dalam periuk. Selepas mendidih, angkat serta masukkan sedikt garam. Kemudian cuci kemaluan dengan air rebusan yang masih suam. Lakukan tiga kali seminggu. InsyaAllah gatal-gatal akan hilang.


Daun Rebusan Lain

Anda juga boleh cuba air rebusan daun jambu batu, asam gelugur, daun asam jawa, daun dan akar semalu, jintan dan garam serta asam gelugur dan garam.


Penjagaan Alat Kelamin

Alat kelamin perlu dijaga agar kekal normal. Namun begitu, ramai di kalangan ibu tidak menjaganya sebaik mungkin. Akibatnya luka yang dialami lambat sembuh. Hal ini berlaku mungkin kerana ibu-ibu takut rasa pedih dan ngilu jika mereka menyentuh luka tersebut. Demi kebaikan jangka panjang, ibu-ibu dinasihatkan agar mengetepikan rasa takut itu. Antara amalan tradisi penjagaan alat kelamin ialah membersihkannya dengan menggunakan garam kasar. Biarpun pedih, proses pengecutannya sangat cepat. Selain garam kasar, anda juga boleh menggunakan manjakani. Caranya ialah dengan menumbuk manjakani sehingga halus dan sapukan pada alat kelamin. Hasilnya luka akan cepat sembuh.


Angin

Selepas sahaja bersalin, keadaan fizikal ibu-ibu akan kelihatan agak “kembang”. Perut sesetengah daripada mereka kelihatan seperti masih hamil kerana usus mengandungi angin berlebihan.

Sebenarnya, keadaan yang berlaku ini hanya sementara kerana setelah semua angin dan cecair badan serta lemak berlebihan yang terkumpul semasa hamil hilang, tubuh ibu-ibu akan kembali normal. Bagi sesetengah wanita, tempoh beberapa minggu sahaja sudah mencukupi untuk mereka mendapatkan sekitar 60 hingga 80% bentuk tubuh asal.

Walau bagaimanapun, sekiranya tubuh tidak dijaga rapi, angin mudah masuk menerusi ruang-ruang pada rongga tubuh yang masih kembang. Oleh yang demikian, penjagaan rapi semasa proses berpantang sangat penting agar tubuh dapat kembali normal dan sihat.

Antara amalan yang membantu mengelakkan tubuh dimasuki angin ialah dengan memakai stoking dan barut sepanjang berpantang. Selain itu, amalan brtungku dapat membantu mengeluarkan angin dalam tubuh sekaligus mengecutkan rahim dan mengeluarkan darah beku.

Amalan meminum ramuan ubat periuk juga bertujuan untuk mengeluarkan angin serta membersihkan, menyegarkan dan mengembalikan fungsi rahim. Tubuh ibu-ibu selepas bersalin perlu diurut untuk mengeluarkan angin yang terkumpul terutamanya pada kawasan perut.


Cara Untuk Menghilangkan Angin

Rebus buah mata kucing bersama halia dan gula merah sehingga mendidih. Minum setiap hari dalam keadaan suam. Lebih elok jika diminum selepas makan nasi.

Rebus halia tua bersama gula merah, kulit kayu manis, jintan manis dan daun pandan. Minum air rebusan ini beberapa kali dalam sehari.

Rebus empat atau lima tangkai cili kering (tangkai sahaja), dua ulas bawang putih, sedikit halia bersama tiga cawan air. Minumlah beberapa kali.

Air rebusan daun mengkudu dan halia juga boleh membantu mengeluarkan angin dari tubuh.


Makanan Yang Menyumbang Kepada Penghasilan Angin Dalam Perut

Kebanyakan jenis kekacang kering, kacang panjang dan kacang soya
Susu, ais krim dan keju
Kubis, lobak putih, kubis bunga dan asparagus
Sayur berubi seperti sengkuang
Buah-buahan seperti nangka, sukun dan pisang
Minuman air berkarbonat.

No comments:

Ingin Bertanya?

Nama:
Email:
Mesej:

Kak Engku Mengalu-alukan Sebarang Cadangan & Soalan.


Put a website form like this on your site.

Borang Pesanan

Nama:
Email:
No. Tel:
Alamat Penghantaran:
Produk:
Kuantiti:
Harga Anda:
Brg Nak Bila?:

Isikan Je Harga Yang Anda Inginkan, Asalkan Harga Tu LOGIK, Pasti Kak Engku Setuju. Kat Engku Akan Memberi Respon Secepat Yang Mungkin....Insya Allah.


Click here to create your own form.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...