KEPAKARAN Kak Engku adalah membantu Mama semua untuk mendalami dan mempratikkan ilmu Kehamilan, Berpantang, Penyusuan Dan Penjagaan Bayi secara online agar Mama lebih bersedia, sentiasa ceria dan teruja sebelum dan selepas kelahiran. Di samping menyediakan khidmat nasihat berkaitan barangan keperluan berpantang dan set bersalin yang pratikal digunakan dengan harga yang Murah serta Kualiti yang dijamin Tulin.

Monday 15 July 2013

Faedah Bertungku Kepada Ibu



Selain berurut dan rawatan lain yang dilakukan untuk melegakan dan menegangkan kembali otot-otot yang longgar, bertungku juga penting dalam proses mengembalikan kesegaran dan mengecutkan rahim. Bertungku bererti menuam bahagian tertentu badan dengan menggunakan batu atau besi yang dipanaskan (mungkin juga dengan bahan yang lain).

Tujuan bertungku ialah untuk megeluarkan saki baki darah kotor, mengecutkan dan memulihkan rahim dan juga urat saraf di sekeliling peranakan dan bahagian-bahagian lain. Ketika bertungku badan akan berpeluh dan terasa hangat. Ini akan memudahkan pemulihan tenaga. Bertungku dilakukan sebelum ibu mandi pada waktu pagi dan petang ketika ibu dalam posisis berbaring, kecuali dalam keadaan-keadaan tertentu.

Batu atau besi tungku dipanaskan selama lebih kurang beberapa minit. Kemudian, dibalutkan dengan beberapa lapis kain (yang disusun di dalamnya daun mengkudu pada setiap lapis) menurut kepanasan tungku yang dapat ditanggung oleh kulit. (sekarang terdapat beberapa jenis tungku moden...dan kaedahnya juga berlainan dengan tungku tradisional). Setelah dibalut rapi pangkal batu / besi diikat supaya kain tidak terburai (terbuka).


Bahagian Badan Yang Perlu Ditungku

Bahagian Peranakan

Bertujuan untuk mengecutkan peranakan yang membesar sewaktu mengandung. Peranakan juga perlu disangkak (dinaikkan) atas dengan menolak bahagian rahim dari bawah sehingga menghampiri bahagian pusat. Menyangkak hanya boleh dilakukan oleh orang yang mahir.

Peranakan yang tidak dinaikkan menyebabkan perut menjadi buncit dan terasa tidak selesa, seolah-olah adanya benda menonjol yang hendak keluar dari faraj. Bertungku di bahagian ini memakan masa lebih kurang 25 minit. Bertungku juga memerlukan kemahiran. Ada juga orang yang menaikkan peranakan dengan berurut terlebih dahulu. Setelah itu barulah beralih ke bahagian lain, iaitu di bahagian kemaluan.


Bahagian Badan

Iaitu di bahagian dada, ulu hati, tengkuk, ketiak dan belikat. Bertungku di bahagian ini dilakukan ketika ibu dalam keadaan berbaring. Tungku diletakkan di sekitar buah dada, supaya darah mengalir dengan baik, membolehkan air susu keluar dengan lancar. Selepas itu baru beralih ke bahagian ulu hati, iaitu untuk memecahkan angin di bahagian perut dan ulu hati. Lakukan dalam masa lebih kurang 5 – 10 minit sahaja.

Setelah itu beralih ke bahagian ketiak kanan dan kiri. Kemudian barulah dilakukan di bahagian belikat kanan untuk beberapa minit, yang kemudiannya dipindahkan ke bahagian kiri.

Di bahagian tengkuk, bertungku dilakukan dengan meletakkan tungku di bawah tengkuk seperti orang berbantal. Bahagian ini perlu ditungku untuk memulihkan perjalanan darah di bahagian kepala dan leher.


Bahagian Bawah

Iaitu bahagian betis,paha, punggung, pinggang, pelipat, pergelangan kaki dan tapak kaki. Bertungku di bahagian-bahagian ini memerlukan masa antara 15 – 20 minit pada setiap bahagian. Pada bahagian terakhir, iaitu di tapak kaki, kaki dirapatkan menjadi satu kemudian digerakkan ke hadapan dan ke belakang, atau dengan mengolek-golekkan tungku ke hadapan dan ke belakang sekiranya tungku itu berbentuk bujur atau bulat. Biarkan tungku berada di bahagian ini sehingga sejuk.

Adalah lebih baik sekiranya ibu dibantu ketika bertungku, terutamanya pada hari pertama, kedua dan ketiga. Walaupun demikian, membakar tungku perlu dilakukan oleh orang lain kerana ia merupakan kerja berat bagi seseorang ibu yang baru bersalin. Dengan adanya tungku-tungku moden di pasaran, mungkin sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban bagi ibu-ibu ini.


Jenis-Jenis Dan Faedah Bertungku

Tungku merupakan kaedah rawatan tradisi yang biasanya dikaitkan dengan wanita dalam pantang. Namum ia sebenarnya sesuai dan boleh diamalkan oleh semua orang bagi penjagaan kesihatan dan kesegaran badan.

Terdapat beberapa jenis tungku seperti tungku batu, tungku pasir herba, tungku bijirin herba, tungku besi, tungku layor (daun dan buah), tungku abu, tungku garam bukit dan tungku moden.

Tungku batu amat popular di kalangan wanita dalam pantang. Beberapa jenis batu boleh digunakan seperti batu sungai, batu gunung, batu bata merah dan batu kelikir. Batu ini dibakar sehingga merah dan dimasukkan ke dalam kain yang berlapikkan daun mengkudu, bunga kantan, halia dan halba. Ia bertujuan mengeluarkan darah beku, mengecutkan peranakan, menghilangkan kebas-kebas kaki serta buasir.

Tungku pasir pula lebih ringkas. Pelbagai jenis pasir boleh digunakan seperti pasir sungai, pasir laut, campuran lumpur, tanah bukit atau pasir bukit. Pasir disangai (digoreng tanpa minyak) terlebih dahulu sehingga betul-betul kering. Sediakan kain belacu yang dialas daun pisang, daun mengkudu, lada hitam, hirisan daun pandan dan pucuk kecubung. Tuang pasir di atas kain dan tuam di bahagian pinggul, bahu, belikat, perut dan tapak kaki. Elok bagi wanita yang mengalami senggugut dan meroyan.

Tungku bijirin digunakan oleh sesetengah bidan kampung sebagai terapi bersalin, menyusutkan bengkak dan nanah dan boleh dituam di bahagian pinggul. Bijirin yang digunakan ialah jagung, kacang hijau, lada hitam, halba, lada ekor, ketumbar, daun kantan, daun pandan, halia bara dan lengkuas.

Tungku besi terkenal di negeri-negeri utara iaitu Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis. Tungku ini dibuat daripada besi dan berbentuk laras. Cara penyediaannya sama juga dengan tungku lain di mana daun kecubung, lengkuas, daun dan kulit limau purut diletakkan di atas kain. Tungku dipanaskan dan dibungkus dengan kain yang berisi daun-daun tersebut.

Tungku layor pula menggunakan dua jenis bahan sama ada daun atau buah. Daun yang sesuai ialah daun kantan, lengkuas, mengkudu, jambu batu hutan, sirih, kecubung dan kaduk. Tungku buah pula menggunakan buah mengkudu. Daun dan buah dilayorkan (diletakkan di atas api perlahan sehingga daun layu) dan dibungkus dengan sapu tangan.

Tungku abu amat unik dan sukar diperoleh pada masa kini kerana tidak ramai lagi yang memasak menggunakan kayu api. Abu daripada kayu api yang masih suam dibalut dengan daun mengkudu atau kain. dan digunakan bagi meredakan bengkak di dahi, bisul, kuping kulit dan mengeringkan kudis.

Tungku moden adalah inovasi terbaru tungku yang satu ketika dahulu bersifat tradisional kini di perbaharui untuk kemudahan penggunaannya. Diperbuat daripada bahan anti-kuman yang mengandungi cecair, tungku moden ini bersih dan mempunyai unsur perubatan yang tersendiri. Tungku ini hanya perlu dicajkan selama 5 - 8 minit dan lampu akan terpadam secara automatik. Tungku ini akan menjadi panas sehingga 70 - 80 darjah celcius dan suhu ini akan bertahan antara 1 - 2 jam.

No comments:

Ingin Bertanya?

Nama:
Email:
Mesej:

Kak Engku Mengalu-alukan Sebarang Cadangan & Soalan.


Put a website form like this on your site.

Borang Pesanan

Nama:
Email:
No. Tel:
Alamat Penghantaran:
Produk:
Kuantiti:
Harga Anda:
Brg Nak Bila?:

Isikan Je Harga Yang Anda Inginkan, Asalkan Harga Tu LOGIK, Pasti Kak Engku Setuju. Kat Engku Akan Memberi Respon Secepat Yang Mungkin....Insya Allah.


Click here to create your own form.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...