Berurut semasa dalam pantang adalah digalakkan bagi
ibu-ibu, tujuan berurut ialah untuk memulihkan tenaga dan menjaga kesihatan
wanita selepas bersalin. Berurut ini hendaklah dilakukan seminggu setelah
ibu-ibu melahirkan anak.
Berurut hendaklah 3 hari berturut-turut sebelah pagi atau sebelah petang. Di sini ditunjukkan cara-cara yang betul ketika berurut:
Ibu hendaklah tidur terlangkup. Mulakan dari bahu
kanan dan kiri dengan cara memicit-micit lebih kurang 2 atau 3 minit. Terlebih
dahulu badan belakang ibu disapu dengan minyak urut atau minyak kelapa yang
dicampur dengan bawang putih atau bawang merah. Cara ini diulang sebanyak 3
kali. Gunakan untuk memulihkan tenaga dan rasa lenguh di bahu.
Kemudian urut pula belakang ibu, di bahagian tulang
belikat, ulang cara ini 2 atau 3 kali selama 2 atau 3 minit. Cara ini juga
untuk menghilangkan sakit-sakit di bahagian tulang belikat atau rasa nyeri
selepas melahirkan anak.
Setelah itu picit bahu kiri dan kanan semula selama
2 atau 3 minit ulang 3 atau 4 kali. Cara ini juga untuk memulihkan rasa
sakit-sakit di bahagian bahu.
Picit di bahagian punggung untuk menghilangkan
sengal-sengal setelah melahirkan anak. Lakukan cara ini 3 minit dan ulang 3
atau 4 kali.
Beralih ke bahagian bawah punggung dan peha. Urutan
ini untuk memulihkan lenguh-lenguh di bahagian punggung dan peha setelah
melahirkan. Lakukan cara ini selama 3 atau 4 minit.
Urut ke bahagian betis. Picit dan urut selama 2
atau 3 minit. Ulang 2 atau 3 kali.
Urut di bahagian pergelangan dan buku lali, gunanya
untuk membuangkan angin pada sendi-sendi buku lali. Lakukan cara ini selama 3
minit. Ulang 3 atau 4 kali.
Silangkan betis ke kiri dan ke kanan. Lakukan cara
ini 2 kali. Cara ini untuk merapatkan peranakan dan merapatkan peha yang
renggang.
Silangkan semula betis, untuk memperkemaskan lagi
cara urutan. Lakukan 2 kali.
Tekan kedua-dua betis ke bahagian punggung untuk
merapatkan peranakan dan menghilangkan lenguh di kaki. Lakukan cara ini
sebanyak 2 kali.
Silangkan semula betis untuk memperkemaskan lagi
urutan. Cara ini juga boleh memulihkan rasa lenguh di betis setelah melahirkan.
Ibu hendaklah tidur terlentang, urut bahagian bahu
kiri dan kanan. Lakukan 2 atau 3 kali. Cara ini untuk memulihkan tenaga dan
memberi ketenangan kepada ibu-ibu selepas melahirkan.
Urut bahagian bawah buah dada dengan menaikkan buah
dada, cara ini untuk menegangkan buah dada dan melancarkan air susu. Urut
selama 2 atau 3 minit. Ulang sebanyak 3 kali.
Urut bahagian pinggang perlahan-lahan selama 3
minit dan ulang 2 atau 3 kali. Urutan ini adalah untuk memulihkan pinggang,
agar ramping semula. Jangan angin masuk ke pinggang.
Urut dari betis hingga lutut. Cara ini untuk
membetulkan urat di betis dan menguatkan kepala lutut. Lakukan selama 3 minit.
Ulang sebanyak 2 atau 3 kali.
Urut dari betis hingga ke hujung jari kaki, untuk
mengeluarkan angin dan menghilangkan lenguh-lenguh kaki. Ulang 2 atau 3 kali
selama 3 minit.
Urut lengan kanan dan kiri. Ulang sebanyak 3 kali,
cara ini boleh menghilangkan rasa lenguh-lenguh di kedua belah tangan kanan dan
kiri serta kedua belah bahu ibu-ibu.
Urut daripada pangkal peha hingga lutut. Baik untuk
mengendurkan ketegangan di bahagian peha dan lutut. Lakukan sebanyak 2 kali
selama 3 minit.
Urut daripada peha membawa ke betis dan jari-jari
kaki. Urutan ini boleh memulihkan kaki yang tegang dan letih serta otot-otot
kaki. Lakukan sebanyak 3 kali.
Urut di bahagian muka. Mulakan dengan mengurut
kedua-dua belah kening, urutan ini untuk menghilangkan sakit di mata dan
menghilangkan rasa pening selepas melahirkan. Cara ini juga mencegah angin
meroyan naik ke kepala. Lakukan sebanyak 3 atau 4 kali.
Urut di bahagian dahi untuk menegangkan kulit muka
dan untuk merawat agar ibu-ibu yang baru melahirkan tidak mudah mendapat
penyakit pening kepala. Lakukan sebanyak 3 kali berturut-turut.
Mengurut untuk menaikkan seri muka. Urut dari dagu
hingga ke tepi dahi. Lakukan sebanyak 3 kali selama 3 minit.
Picit di kiri kanan mata untuk menghilangkan pening
kepala dan menjaga mata supaya tidak cepat rabun dan menghindarkan angin
meroyan naik ke kepala. Lakukan cara ini sebanyak 3 kali.
Urut leher hingga kedua belah bahu sebanyak 3 kali,
cara ini untuk melegakan ketegangan mengendurkan urat-urat leher dan
meghilangkan rasa pening kerana tidak cukup tidur. Lakukan cara ini sebanyak 3
kali.
Mengurut bahagian kepala untuk melegakan rasa
pening kepala dan menghindarkan angin meroyan naik ke kepala. Picit kulit
kepala berulang-ulang kali untuk mengeluarkan angin dari kepala. Cara ini boleh
mengendurkan ketegangan dan memulihkan penglihatan yang kabur. Ulang cara
mengurut kepala ini sebanyak beberapa kali yang boleh melegakan ibu.
Urut bahagian tengkuk untuk melegakan ketegangan
urat-urat di bahagian leher. Lakukan sebanyak 3 kali. Urutan ini untuk
mengeluarkan angin yang naik ke kepala.
Urut dari bahagian tengkuk hingga ke bahu. Untuk
melegakan lagi bahagian kepala ibu-ibu. Lakukan cara ini sebanyak 3 kali.
Urut di bahagian leher untuk menghalang angin
meroyan naik ke kepala dan menghalang dari ketegangan leher.
Urut kedua belah bahu untuk melonggarkan urat saraf
dan memberi kelegaan bagi ibu-ibu dalam pantang.
Urut dari bahu hingga ke pinggang untuk melegakan
rasa lemah dan sakit badan ketika melahirkan anak.
Ibu hendaklah tidur mengereng, urut bahagian punggung
hingga ke peha. Cara ini boleh memulihkan rasa sakit-sakit ketika melahirkan.
Urut pangkal peha serentak untuk memulihkan tenaga.
Cara ini hendaklah dibuat disebelah kiri dan kanan bergilir-gilir.
Tarik kedua-dua tangan ke belakang, sedangkan kaki
kanan tekan di bawah ounggung untuk membetulkan peranakan. Lakukan sekali lagi
dengan cara yang lembut dan berhati-hati.
Akhir sekali tarik kedua tangan dengan lembut, cara
ini untuk melegakan semua urat saraf dan cara terakhir bagi urutan ibu-ibu
dalam pantang.
No comments:
Post a Comment