Cara Tidur Selepas Melahirkan
Tidur dengan bantal tinggi - supaya darah kotor
tidak naik ke kepala dan menjauhkan diri dari sakit kepala.
Kaki rapat dan lurus - Ini untuk menjaga supaya
peranakan cepat pulih dan vagina menjadi sempit semula, begitu juga luka
selepas melahirkan akan cepat sembuh.
Pakaian Selepas Melahirkan
Pakaian tebal baju panas lengan panjang - Memakai
baju tebal supaya angin sejuk tidak masuk ke tulang yang boleh mengakibatkan
sakit tulang-tulang di usia tua.
Bersetokin - Supaya kaki sentiasa panas dan angin
sejuk yang boleh merosakkan kesihatan tidak akan masuk ke badan.
Dandanan Rambut
Diikat ketat dan tinggi - Supaya angin meroyan
tidak naik ke kepala, jika tidak dijaga ibu-ibu boleh mendapat penyakit gila
dan mata cepat rabun.
Sapu minyak zaitun - Untuk menyegarkan kulit kepala
dan menghilangkan rasa pening selepas bersalin.
Memakai Pilis Di Dahi
Pilis dibuat dari kulit kayu manis yang diasah pada buntut pasu dan bubuh sedikit air, sapukan pada dahi untuk:
Mencegah angin meroyan naik ke kepala
Mencegah dari rabun mata
Berbedak
Bedak dibuat dari bedak sejuk dan ragi.
Bedak dibuat dari bedak sejuk dan ragi.
Caranya :
Ambil sebuku ragi tapai, hancurkan bersama sedikit bedak sejuk, setelah itu masukkan sedikit air ratakan bahan tadi, sapu seluruh badan dan jangan terlalu tebal dan jangan terlalu nipis. Lakukan cara ini selepas ibu-ibu mandi pagi dan sebelum bersarapan.
Berbedak adalah untuk mencegah badan dimasukki angin dan menjadikan kulit tegang semula. Berbedak hendaklah dilakukan selama 2 minggu setelah melahirkan anak. Jika diamalkan selama 44 hari adalah lebih baik.
Berbarut
Barut dibuat daripada kain seperti barut bayi, dipakai selepas 3 atau 4 hari selepas melahirkan anak.
Barut dibuat daripada kain seperti barut bayi, dipakai selepas 3 atau 4 hari selepas melahirkan anak.
Caranya :
Ambil 2 sudu kapur makan, campurkan dengan perahan asam jawa, sedikit air untuk mencairkan. Sapu bahan tadi pada perut rata-rata, jangan terkena pusat. Setelah itu pakailah barut. Rawatan ini untuk mengempiskan perut dan mengelakkan perut dari cepat berkedut.
Lakukan sehari sekali selepas mandi pagi.
Bertungku
Caranya :
Ambil batu tela atau batu sungai, panaskan pada api dapur, setelah cukup panas balut dengan kain batik atau tuala (Sediakan daun lengkuas dan ratakan di atas kain tuala/batik yang digunakan untuk bertungku dan taburkan sedikit garam kasar), jangan terlalu tebal kerana jika terlalu tebal kepanasnnya akan berkurangan. Setelah itu tuamkan pada perut. Lakukan setiap pagi setelah 4 atau 5 hari selepas melahirkan anak. Bertungku dilakukan setelah ibu-ibu mandi pagi.
Faedahnya :
Supaya batu meroyan cepat mengecut
Menghindarkan perut dari buncit
Supaya darah beku cepat pecah
Ibu-ibu tidak akan rasa sakit menrengat selepas
melahirkan.
Mencegah daripada mendapat barah peranakan.
Berganggang Pada Api
Berganggang pada api bertujuan untuk mengeluarkan peluh kotor. Faedahnya supaya badan cepat pulih dan cergas.
Caranya :
Duduk pada kerusi yang berlubang, nyalakan api yang sederhana besarnya di bawah kerusi tersebut. Ibu-ibu hendaklah duduk di atas kerusi sehingga badan berpeluh, lakukan setelah seminggu ibu-ibu melahirkan anak.
Cara ini boleh menyegarkan badan serta menambahkan selera makan.
Berbengkung
Cara Berbengkung
Sediakan kain kosong sepanjang 3 meter
Ikat pada tiang
Lilit dari bawah payudara hingga ke bawah punggung
dengan ketatnya
Cara ini dilakukan setelah seminggu melahirkan anak
Berbengkung hendaklah dilakukan setelah mandi pagi,
memakai bedak ragi dan memakai pilis.
Faedah Berbengkung :
Untuk menguatkan perut yang longgar setelah
melahirkan.
Untuk mengempiskan perut
Untuk menguatkan peranakan supaya tidak turun ke
bawah.
Mandian Wanita Selepas Bersalin
Mandi selepas bersalin ialah untuk menyegarkan tubuh dan mengendurkan urat saraf serta memulihkan tenaga selepas bersalin.
Ramuan untuk mandian :
Daun nangka 20 helai
Daun serai wangi secekak
Daun pandan 10 helai
Daun inai secekak
Bahan-bahan ini hendaklah direbus sehingga
mendidih. Setelah itu campurkan dengan air mandian sebanyak satu besen besar.
Air hendaklah suam-suam kuku.
Khasiat mandi air daun-daunan
Untuk menyegarkan urat saraf serta menghilangkan kelesuan dan keletihan ketika melahirkan anak. Ibu-ibu hendaklah mandi di waktu pagi ketika cuaca agak panas. Mandilah sebanyak 2 kali sehari di waktu pagi dan petang adalah lebih bermanfaat lagi.
Bahan-bahan untuk mandi air daun-daunan juga boleh didapati di kedai-kedai ubat, dijual dalam bentuk peket, harga sekitar Rm5 - Rm10 dan boleh digunakan antara 3 - 4 kali bagi setiap peket.
Minum Air Pati Kunyit
Air pati kunyit baik untuk mengecutkan peranakan dan membuang darah kotor, dengan minum air pati kunyit darah kotor akan cepat keluar dan boleh menghilangkan rasa sakit merengat setelah melahirkan.
Caranya :
Ambil kunyit sebesar ibu jari, bakar pada api, setelah layu tumbuk halus kunyit tersebut. Kacau dengan suku gelas air, kemudian tapis dan diminum airnya.
Minum pada sebelah pagi selama 3 hari berturut-turut. Cara ini akan cepat menyembuhkan luka-luka di dalam perut.
Minum Akar Kayu
Adalah baik jika ibu-ibu dapat meminum air akar kayu setelah 4 hari melahirkan. Minum air akar kayu ini baik untuk memulihkan tenaga dan memberikan tenaga baru kepada para ibu-ibu yang baru melahirkan.
Minum Jamu
Setelah 2 minggu atau sebulan ibu-ibu melahirkan barulah ibu boleh meminum jamu. Jamu ini boleh memanaskan badan serta mengecutkan peranakan. Jika ibu-ibu menyusukan anak dan didapati anak berpenyakit kuning,hendaklah ibu-ibu memberhentikan pengambilan jamu.
Makan Telur Ayam Dan Madu Lebah
Telur ayam dan madu lebah baik untuk ibu yang baru bersalin menambah darah mereka.
Caranya :
Rendam sebiji atau 2 biji telur ayam setengah masak, setelah itu pecahkan dalam piring campurkan dengan 1 sudu kecil madu asli. Kacau, kemudian makan di sebelah pagi setelah anda mandi.
Di atas adalah kaedah-kaedah yang digunakan dalam berpantang secara tradisional. Walaubagaimanapun sekarang ini, ibu-ibu boleh memudahkan kaedah-kaedah di atas dengan menggunakan set bersalin yang boleh didapati di pasaran. Set-set bersalin ini terdapat berbagai jenis dan jenama di pasaran, set-set ini juga boleh didapati dalam bentuk serbuk dan juga kapsul serta set-set ini pastinya telah dipermudahkan untuk kegunaan bagi ibu-ibu semua.
No comments:
Post a Comment