Berpantang selama 44 hari memang menjadi amalan
yang amat popular dalam kalangan masyarakat orang Melayu sejak zaman berzaman.
Mengikut panduan perubatan moden, tempoh berpantang bersalin atau puerperium
adalah dalam lingkungan 42 hari atau enam minggu. Tempoh ini dianggap sebagai
tempoh pemulihan fungsi kewanitaan daripada segala gejala kecederaan serta
tekanan jiwa dan mental. Pada ketika ini juga rahim mulai menguncup, mencerut
dan mengecil seperti keadaan sediakala. Proses ini digelar involusi.
Mengikut ilmu perbidanan Melayu, pantang bersalin dimestikan genap 44 hari kerana itulah tempoh yang mencukupi bagi memulihkan organ kewanitaan "balik seperti sediakala". Selepas 42 hari, rahim telah mengecut dan pulang ke "sarang" iaitu balik ke rumahnya di bahagian pelvis atau di sudut ari-ari di atas tundun, tetapi mulut rahim atau pintu servik masih mentah, bengkak dan tersembul.
Disamping itu, urat peranak di bahagian faraj masih sengal dan ngilu. Angin darah kotor atau angin merian masih berlegar-legar di salur darah di dalam rahim dan jika berjimak pada masa ini boleh menyebabkan angin merian berputar di seluruh sendi anggota. Kesan sampingannya akan dikesali oleh wanita itu sendiri, iaitu mudah alah pada persekitaran dan pemakanan, mudah uzur dan tertekan. Untuk mendapatkan kemantapan dan keselesaan fungsi organ kewanitaan, petua Melayu mengesyorkan sanggama hanya dimulakan secara aktif dan agresif selepas lapan minggu.
Setelah genap 44 hari, di rumahnya, rahim sudah pun pulih dan mulutnya kembali normal. Dengan atur cara rawatan dalam pantang yang cermat di sepanjang tempoh itu, kesihatan ujud anggota terpelihara serta dipertingkatkan. Pada hari ke 45, kewanitaan ibu bersalin pulang pulih seperti sediakala, bahkan lebih kemas daripada anak dara.
No comments:
Post a Comment