Keguguran
adalah kejadian yang kerap berlaku. Ia berlaku dalam lebih kurang 15 hingga 20
peratus daripada keseluruhan kehamilan. Sekiranya seseorang wanita mengalami
keguguran, bukan bermakna mereka tidak berpeluang untuk hamil secara normal
pada masa hadapan. Namun begitu, keguguran merupakan sesuatu yang amat ditakuti
bagi sesetengah wanita. Ada dalam kalangan wanita yang berjaya mengandung
tetapi mengalami keguguran yang berulang kali.
Wanita
yang mengandung kemudian gugur, ia sebenarnya lumrah hidup. Tetapi jika ia
berlaku sekurang-kurangnya sehingga tiga kali berturut-turut maka keguguran ini
dikenal sebagai keguguran 'habitual'. Setiap kali wanita ini hamil, pengalaman
keguguran yang lepas akan sentiasa menghantui pemikiran mereka. Masalah
sebegini sudah tentu memberi impak yang negatif, khususnya bagi wanita yang
masih belum dikurniakan zuriat.
Malangnya,
agak susah untuk kita ketahui dengan tepat kenapa wanita mengalami kejadian
ini. Kenyataannya, lebih dari 50 peratus pasangan tidak akan mengetahui apa
yang menyebabkan keguguran ini berlaku. Semasa keguguran berlaku, biasanya
seseorang wanita akan mengalami pendarahan. Pendarahan ini berlaku lebih banyak
dari pendarahan haid. Namun ada juga yang mengalami pendarahan yang sedikit
sahaja. Meskipun begitu, tak semestinya keguguran yang berlaku mengeluarkan
darah.
Punca
Keguguran
Walau
bagaimanapun, terdapat beberapa faktor atau punca yang disabitkan dengan
keguguran berulang, faktor utama adalah kerana kebanyakan keguguran dikaitkan
dengan masalah dengan janin itu sendiri yang mempunyai masalah genetik atau
kromosom yang mengakibatkan janin tersebut tidak dapat membesar dengan baik.
Janin memerlukan kromosom yang sihat dan tersusun dengan sempurna. Walau
bagaimanapun, mungkin timbul keadaan di mana kromosom tersebut tertinggal atau
tersalah kedudukannya semasa pembentukan janin sebaik sahaja selepas
persenyawaan. Hasilnya, janin itu akan mati sejak dari awal lagi.
Ia juga
mungkin berpunca dari penyakit dalam rahim yang sering dikaitkan seperti
endometriosis dan fibroid juga boleh menyebabkan keguguran berulang. Wanita
yang mengalami penyakit endometriosis dan fibroid ini kadang-kadang mengalami
keguguran biarpun usia kandungan sudah mencecah antara empat hingga lima bulan.
Jangkitan
kuman pada darah wanita yang mengandung adalah salah satu penyebab keguguran
berulang. Wanita yang mengandung kadang-kadang tidak menunjukkan sebarang tanda
penyakit atau kesakitan, malangnya mereka mengalami keguguran. Diagnosis dibuat
dari darahnya yang diperiksa, didapati ia dijangkiti kuman. Kuman pada darah
itulah yang merosakkan kandungan. Antaranya seperti kesan beberapa jenis virus,
iaitu cytomegalo virus (CMV), herpes simplex (HSV) dan juga rubella. Begitu
juga dengan sejenis parasit toksoplasmosis yang ada pada badan kucing boleh
menyebabkan keguguran. Oleh itu, bagi wanita yang sering mengalami keguguran
dan memelihara kucing, perlulah sentiasa berhati-hati. Biarpun kucing
peliharaan itu dijaga dengan baik dan bersih, tetapi parasit itu tetap ada pada
bulu-bulu kucing dan tidak dapat dilihat dengan mata kasar.
Rawatan
Sebenarnya
tiada perawatan khusus bagi masalah sebegini. Pada kebiasaannya, selepas
pemeriksaan dilakukan, jika ujian yang dilakukan mendapati wanita tersebut
mengalami masalah yang tertentu, contohnya diabetes yang tidak dikawal, maka
beliau akan dinasihatkan untuk mendapatkan rawatan diabetes dengan mengawal
aras glukosa darah pada aras yang paling optimum sebelum mengandung.
Seseorang
wanita yang ingin mengandung sepatutnya mengamalkan pemakanan berkhasiat dari
peringkat awal lagi, mengambil juga asid folik dan vitamin dari usia awal
kandungan. Penting juga kalau boleh wanita yang mengandung diberi atau
mengambil cuti rehat pada peringkat awal kehamilan. Mereka digalakkan berehat,
banyakkan baring dan tenangkan fikiran. Antara perkara menyebabkan keguguran
ialah stres dari segi fizikal dan mental. Wanita tersebut juga mungkin
diberikan ubat progesteron untuk merehatkan rahim dan mengurangkan berlakunya
kejang rahim untuk mengurangkan risiko keguguran.
Mereka
juga perlu mempunyai semangat yang kuat dan jangan melayani pemikiran negatif
yang sudah tentu boleh menimbulkan kemudaratan. Jangan terlalu risau dan mereka
perlu menenangkan fikiran kerana kemungkinan kehamilan akan berjalan seperti
biasa dan berjaya melahirkan bayi yang sihat.
No comments:
Post a Comment