Masalah berat badan amat sensitif dalam kalangan
wanita. Ramai wanita di luar sana yang mencuba pelbagai produk pelangsing yang
ditawarkan dan sanggup membelanjakan wang yang banyak untuk masalah ini. Sudah
menjadi lumrah, sebagai wanita dan isteri, kita semua berharap agar dapat
mengekalkan bentuk tubuh badan yang menarik untuk menambat hati suami. Yang
kurus nak gemuk dan yang gemuk pula nak kurus.
Bukan tidak puas dengan apa yang dikurniakan, tapi
nak menjadi yang lebih baik. Tapi maklum sahajalah, bila dah bersalin sekali
dua, berat badan susah nak turun. Tambahan pula, bila menyusukan anak
sepenuhnya, bukan saja tak boleh mengambil ubat pelangsing sebarangan tetapi
nak berdiet berlebihan pun kurang digalakkan kerana dikhuatiri menjejaskan pengeluaran
susu atau membahayakan bayi.
Namun begitu, menurunkan berat badan bagi ibu-ibu
yang sedang menyusukan anak bukan satu perkara yang mustahil, tetapi ia
memerlukan kesabaran dan komitmen yang tinggi. Ini kerana, proses menurunkan
berat badan sewaktu menyusukan anak perlu dilakukan secara perlahan-lahan bagi
mengelakkan sebarang komplikasi kepada susu yang diberi kepada bayi.
Secara asasnya, menyusukan bayi tidak membuatkan
berat badan bertambah. Malah menurut kajian, ibu-ibu yang menyusukan anak lebih
mudah menurunkan berat badan berbanding ibu-ibu yang tidak menyusukan anak
kerana menyusukan bayi menggunakan antara 200 hingga 500 kalori setiap hari.
Bagaimanapun perlu diingat, kita masih perlu menjaga pemakanan.
Ada beberapa panduan yang mungkin berguna untuk
ibu-ibu yang ingin menurunkan berat badan. Paling utama ibu tersebut perlu
minum air secukupnya. Air yang mencukupi dapat melancarkan sistem badan
termasuk mengekalkan metabolisme kita pada kadar yang sepatutnya.
Seelok-eloknya hanya minum air setengah jam selepas makan. Ibu juga
dinasihatkan untuk makan apabila perut berasa lapar. Mereka juga perlu ingat
pada wasiat Rasulullah "Makan apabila lapar, berhenti sebelum
kenyang". Paling baik sekali adalah makan empat ke enam kali sehari dengan
kuantiti yang kecil. Utamakan sarapan pagi. Sarapan pagi perlu diambil dalam
masa sejam selepas bangun tidur.
Makanan yang dimakan juga perlu dikunyah secara
perlahan-lahan. Paling baik sekali jika makanan tersebut dikunyah 44 kali untuk
mengurangkan beban penghadaman. Selain itu, otak akan menerima isyarat
kekenyangan pada waktu yang tepat. Kalau makan laju sangat, otak tidak sempat
memberi isyarat yang kita dah terlebih kenyang. Kurangkan percakapan semasa
makan untuk mengelakkan tidak perasan yang kita sudah terlebih makan.
Makanan yang diambil perlu seimbang. Kajian
menunjukkan bahawa ramai orang yang terlebih berat badan disebabkan zat yang
tidak mencukupi. Kekurangan protein akan menyebabkan badan tidak dapat
menghasilkan enzim (enzim terbina daripada asid amino) yang mencukupi untuk
mencernakan makanan. Selain itu, orang yang kekurangan protein biasanya
mempunyai nafsu makan yang sangat tinggi. Protein biasanya membuatkan kita rasa
kenyang dalam jangka masa lebih panjang. Vitamin B6 adalah zat penting dalam
metabolisme lemak. Kalau berkurangan, lemak tidak dapat dibakar dan berkumpul
secara berlebihan.
Kesimpulannya, makanan yang diambil perlu seimbang.
Kurangkan pengambilan gula dan makanan rapu. Gula membekalkan kalori yang tiada
nilai zat. Gula juga menambah potensi seseorang diserang penyakit diabetes
mellitus apabila pengambilan tidak dikawal. Manakala makanan rapu yang
mengandungi garam yang tinggi bukan sahaja menyebabkan nafsu makan sukar
dikawal bahkan dikaitkan dengan risiko penyakit hipertensi (darah tinggi).\
Banyakkan aktiviti fizikal. Pasti ibu-ibu tidak
mengalami masalah untuk memperbanyakkan aktiviti fizikal. Walaupun tidak dapat
meluangkan masa ke gimnasium atau senamrobik, ibu-ibu akan sentiasa sibuk
dengan tugasan harian. Aktiviti senaman sekurang-kurangnya 15 minit, dua kali
seminggu adalah sangat digalakkan. Bagaimanapun, bagi yang tidak dapat
meluangkan masa untuk bersenam, eloklah mengambil alternatif seperti
menggunakan jalan lebih jauh untuk sampai ke satu-satu tempat dengan berjalan,
berjalan sambil menghayunkan tangan, melakukan kerja rumah, aktiviti santai
bersama anak-anak dan banyak menggunakan tangga daripada lif.
Ibu juga hendaklah sentiasa berfikiran positif dan
banyak bersabar kerana pengurangan berat badan ini adalah lebih kurang dua
kilogram sahaja dalam masa sebulan. Teruskan dengan penyusuan kerana ada banyak
lagi keistimewaan yang anda akan kecapi.
No comments:
Post a Comment