Pemakanan ialah aspek yang amat penting dalam
rawatan pantang bersalin. Ini kerana proses kehamilan telah mengganggu
keseimbangan hormon ibu. Mereka mengalami pelbagai bentuk tekanan dan gangguan
emosi akibat perubahan fizikal. Apalagi semasa melahirkan anak, tenaga dikerah
dengan hebat, urat saraf banyak yang cedera dan terjadi luka di bahagian
tertentu.
Mengikut sesetengah petua Melayu, ibu-ibu dalam
pantang disyorkan makan nasi berlaukkan ikan masin atau ikan panggang berkunyit
dan meminum air mengikut sukatan jari (dua ruas jari untuk sekali minum).
Akibat diet cara ini (kurang berzat dan kurang air) ibu-ibu terdedah kepada
risiko penyakit buah pinggang dan tekanan darah rendah. Oleh sebab itulah makan
perubatan moden menentang amalan berpantang cara Melayu. Ingin diingatkan, cara
pemakanan tersebut bukanlah cara Melayu tradisional yang sejati tetapi
merupakan sebahagian cara hidup mereka yang kurang berkemampuan.
Jenis Ikan
Ibu dalam pantang dilarang memakan ikan masin atau
ikan kering kerana makanan tersebut hanya akan menyebabkan darah nifas berbau
busuk, cepat kering serta melemahkan daya ketahanan fizikal dan mental. Ilmu
perbidanan Melayu menggalakkan memakan ikan yang segar, mengelakkan ikan yang
berbisa seperti bawal hitam, terubuk, duri, pari, sembilang serta parang kerana
takut menyebabkan bisa atau bentan pada pintu rahim.
Selain ikan berbisa, jenis ikan yang dilarang yang
menyebabkan kegatalan kulit serta menimbulkan reaksi alahan ialah ikan kembung,
tamban, cencaru, atau tongkol dan makanan laut seperti udang, sotong, kerang
dan lain-lain.
Mengikut petua Melayu, ikan yang disyorkan dalam
pantang bersalin ialah haruan dan yu. Ia dipercayai boleh memulihkan luka-luka
dalaman dan luaran. Ikan haruan yang hidup di dalam lumpur mengandungi khasiat
mineral yang tinggi bagi menyembuhkan luka. Secara tradisi, ikan yu dipercayai
dapat membanyakkan susu ibu dan beberapa kajian saintifik turut mendapati
perkara tersebut benar.
Ulam-Ulaman
Terdapat pelbagai jenis ulam tempatan yang mudah
diperoleh di mana-mana, antaranya serai, lengkuas, daun atau ubi cekur, bunga
kantan, kunyit hidup, daun kesum serta halia. Ulam-ulaman ini mengandungi
fiber, zat galian (mineral) dan pelbagai vitamin, termasuklah A, C dan E,
bersifat anti oksidan.
Selain ulam di atas, terdapat ulam berkhasiat yang
sesuai dimakan oleh ibu dalam pantang, antaranya:
Daun pegaga, pucuk mengkudu, ulam raja, daun lemuni
hitam, daun kaduk, daun sekentut, daun cemumar, daun pudina, daun kari, daun
bebuas dan daun ruku.
Jenis Sayuran Dan Buahan
Ibu bersalin dilarang memakan sayur-sayuran
menjalar, sejuk serta berangin. Antaranya ialah kangkung, timun, sayur keladi,
pucuk ubi, pucuk paku, bayam, sayur atau daun keti (bunga putih), kacang
panjang, petola, labu, rebung, kacang botor, jeruk maman, petai, jering serta terung.
Ibu bersalin juga harus mengelakkan minuman bergas, sejuk serta tajam seperti
air tebu, cincau, kelapa muda serta buah-buahan seperti nenas, jambu,
belimbing, durian belanda, mangga, betik, ciku, langsat, tembikai cina, nangka,
cempedak, pisang masak hijau, pisang nangka, pisang embun, pisang udang, ubi
kayu, ubi keladi, sengkuang, manggis, macang, kuinin, dan binjai. Makanan
tersebut dilarang kerana dapat mengakibatkan sakit tulang dan sejuk otot serta
lemah sendi. Penyakit-penyakit tersebut diketahui telah banyak berleluasa di
barat dan dikenali sebagai artritis dan rheumatisme.
Jenis Ayam Dan Burung
Ibu bersalin disyorkan memakan ayam hitam, ayam
didik atau ayam selasih yang digaul dengan halia tua, garam kasar dan madu
lebah. Ayam ini dikukus dan diambil patinya untuk mengembalikan ketahanan
tubuh. Burung puyuh dan merpati juga baik untuk melancarkan aliran darah dan
mengatasi masalah sukar tidur pada waktu malam.
No comments:
Post a Comment