Pages

Sunday 28 July 2013

Detik Pertama Yang Penting Buat Ibu Dan Si Manja



Sejam pertama penuh bermakna. Jangan lepaskan peluang emas ini untuk menyusukan si manja buat pertama kalinya. Sebaiknya sahaja bayi dilahirkan, anda seharusnya diberi peluang untuk memegang erat bayi. Sentuhan kulit ke kulit antara anda dan bayi, sekurang-kurangnya 10 minit dalam tempoh satu jam pertama selepas kelahiran berupaya mengeratkan hubungan anda berdua. Malah, sentuhan yang sama menjadi langkah penting untuk anda memulakan proses pengeluaran susu. Ketika ini, bayi akan mencari payudara dan memberi tindak balas dengan menghisap payudara. Tindakan ini dinamakan sebagai rooting reflex.

Menyusukan bayi secepat mungkin dalam tempoh satu jam selepas kelahiran sememangnya penting untuk merangsang proses penghasilan dan pengeluaran susu yang lancar. Ia juga  merupakan langkah bijak untuk anda merealisasikan impian penyusuan susu ibu di masa datang. Oleh yang demikian, beritahu dan nyatakan hasrat anda kepada doktor dan jururawat di bilik bersalin agar segera menyerahkan bayi sebaik dia dilahirkan untuk disusukan.

Kajian menunjukkan bayi baru lahir yang mendapat sentuhan awal daripada ibu cepat belajar untuk melekap dengan lebih efektif berbanding bayi yang terpisah daripada ibunya dalam masa satu jam selepas lahir. Ketahuilah! Sejam pertama ini adalah masa dimana bayi berada dalam keadaan waspada dan tenang. Jadi, dia mudah berinteraksi dengan anda. Matanya yang terbuka luas membolehkan dia mencari dengan penuh minat payudara.

Pemerhatian yang dilakukan oleh pakar laktasi mendapati bayi baru lahir akan berusaha bergerak menuju ke arah payudara. Biasanya dia mencapai sasaran itu dengan bantuan yang minima. Oleh itu, beri sepenuh perhatian kepada bayi dalam tempoh masa berharga ini. Renung wajahnya dan berbual-bual dengannya agar dia boleh mendengar secara langsung suara yang pernah didengarinya di alam rahim. Dakap dia agar berlaku sentuhan kulit ke kulit, perut ke perut dan pipinya ke payudara. Untuk memastikan dia selesa, selimuti tubuhnya. Jangan khuatir kerana suhu tubuh anda memadai untuk menghangatkannya.

No comments:

Post a Comment