Pages

Sunday 28 July 2013

Persediaan Awal Untuk Tujuan Penyusuan Susu Ibu



Persediaan Ilmu

Kelas Penyusuan

Ramai beranggapan penyusuan susu ibu adalah sesuatu yang semulajadi. Hakikatnya, ia perlu dipelajari. Tanpa adanya ilmu yang mencukupi, dikhuatiri anda akan terkandas di pertengahan jalan nanti.

Jadi, ada baiknya anda menghadiri kelas penyusuan semasa hamil. Anda boleh memilih kelas penyusuan di hospital atau klinik kerajaan yang sering diadakan secara percuma. Anda juga boleh memilih kelas berbayar di mana kebanyakkannya dikendalikan oleh kaunselor laktasi bertauliah. Sebaik-baiknya hadir ke kelas berkenaan bersama-sama suami supaya dia pun turut memahami konsep penyusuan susu ibu. Apabila suami mempunyai kesedaran tentang kebaikan susu ibu, sudah tentu anda mendapat sokongan padu daripadanya.

Kumpul Maklumat

Cari sebanyak mungkin ilmu tentang penyusuan susu ibu. Hal ini penting agar anda faham konsep asas penyusuan iaitu semakin kerap payudara dikosongkan semakin banyak susu dihasilkan. Selain daripada itu menghadiri kelas, anda boleh menambah ilmu menerusi pelbagai sumber. Antaranya bahan bacaan bercetak, laman web, blog, forum dan sebagainya.

Nombor Telefon

Kaunselor laktasi sangat diperlukan sewaktu anda mengalami masalah berkaitan penyusuan susu ibu terutamanya pada hari-hari pertama selepas kelahiran bayi. Jadi, simpan nombor telefon kaunselor laktasi yang berdekatan dengan tempat tinggal anda. Dengan yang demikian, ia dapat memudahkan anda membuat rujukan apabila mengalami sebarang kelak.

Sertai Komuniti

Di Malaysia terdapat banyak komuniti susu ibu yang bermatlamat menyokong para ibu menyusu agar lebih yakin untuk menyusukan si manja. Sertailah komuniti atau forum penyusuan susu ibu supaya anda mendapat sokongan daripada rakan-rakan lain yang sama-sama menyertainya.

Persediaan Fizikal

Pemakanan Sihat

Apabila anda mengamalkan pemakanan sihat semasa hamil, ia membantu pembentukan kelenjar-kelenjar susu di dalam tisu-tisu tubuh. Lalu, memudahkan penghasilan dan pengaliran susu ibu sebaik bayi dilahirkan. Pada masa yang sama, pastikan keperluan kalsium dan protein dalam tubuh mencukupi.

Pilihan Hospital

Pilihlah hospital yang menyokong penyusuan susu ibu dan mesra ibu dan bayi. Sebelum melahirkan, berbincanglah dengan doktor yang memeriksa kehamilan tentang keinginan anda menyusukan bayi sebaik kelahirannya.

Peralatan Penyusuan

Persediaan peralatan penyusuan susu ibu adalah sangat penting di dalam memastikan anda dapat menyusukan bayi dengan lancar. Antaranya ialah pam payudara, coli penyusuan, pelapik payudara, bekas penyimpanan susu ibu, beg pendingin, pek ais, kain pelindung penyusuan, peti sejuk dan lain-lain.

Anda sangat digalakkan untuk membeli pam payudara sebelum bersalin yang bersesuaian dengan suasana tempat kerja. Sebaik-baiknya pilih pam bergred hospital. Oleh yang demikian, anda disyorkan mencuba dahulu pam tersebut sebelum membelinya. Selain itu, coli penyusuan dan pelapik payudara penting pada awal kelahiran kerana anda mungkin kerap mengalami kebocoran.

Peti sejuk juga merupakan peralatan penting yang anda perlu ada untuk menjayakan penyusuan susu ibu. Hal ini kerana ia membantu memanjangkan jangka hayat susu ibu perahan.

Bekas penyimpanan susu ibu, beg pendingin dan pek ais juga perlu ada. Anda tidak dapat menjangka apa yang berlaku selepas kelahiran bayi. Mungkin anda atau bayi terpaksa ditahan di hospital atas komplikasi tertentu.

Kebersihan Puting

Bersihkan puting setiap kali mandi. Gunakan tuala bersih dan air suam untuk mencucinya. Namun, elakkan menyapu sabun di bahagian puting. Langkah ini sangat penting terutamanya di trimester terakhir kerana kolostrum sudah mulai terhasil. Jika tidak dibersihkan sebaik-baiknya, ia dikhuatiri tersumbat. Dalam pada itu, anda boleh juga menarik dan mengurut puting perlahan-lahan ataupun menyikat kedua-dua belah payudara menggunakan sikat secara perlahan-lahan.

Kenali Payudara

Anda perlu mengenali payudara sendiri! Perkara ini nampak remeh tetapi memberikan impak yang besar. Ia membolehkan anda mengetahui sama ada anda mempunyai puting tenggelam atau normal. Cara pemeriksaannya mudah dan boleh dilakukan ketika mandi. Tekan puting payudara dengan tapak tangan selama dua minit dan lepaskan. Jika puting kembali seperti biasa, bermakna payudara anda normal. Jika hampir seminit menunggu tiada apa-apa perubahan, itu bermakna anda mempunyai masalah puting tenggelam. Apabila sudah mengetahui masalah payudara, ia memudahkan anda penyelesaian awal agar lebih bersedia dengan segala kemungkinan yang ada.

Persediaan Emosi

Niat

Pasang niat dan mula berazam untuk menyusukan anak yang bakal dilahirkan sejak anda mula disahkan hamil. Setelah azam di tanam, jangan lupa untuk suburkannya dengan motivasi menerusi pembacaan, perkongsian pengalaman dan sebagainya. Dengan niat dan azam yang kuat, anda tidak mungkin mudah berputus asa. Segala rintangan dan dugaan pasti sanggup anda harungi jika niat dan azam diutamakan melebihi segala-galanya.

Berdoa

Sentiasa berdoa dipermudahkan proses perjalanan penyusuan anak anda. Dia suka mendengar doa hamba-Nya. Jadi, selalu dekatkan diri kepada Allah s.w.t. sesungguhnya Dia Maha Pemberi Rezeki yang bakal anak anda peroleh nanti iaitu susu ibu.

Sokongan

Kongsi niat anda untuk menyusukan bayi sepenuhnya dengan susu ibu bersama suami, ahli keluarga dan rakan-rakan. Nyatakan hasrat anda untuk mendapat sokongan daripada mereka terutamanya daripada pihak suami. Sokongan yang dimaksudkan bukan setakat bersetuju dengan keinginan anda mahu menyusukan bayi tetapi ia perlu lebih daripada itu.

Oleh itu, banyakkan berbincang tentang perancangan yang bakal dilakukan dan pada masa yang sama, bersama-sama lengkapkan ilmu agar semua sedar dengan peranan masing-masing dalam membantu anda menjayakan penyusuan susu ibu.

Yakin

Sentiasa berfikiran positif bahawa anda akan dapat menyusukan anak kelak. Yakinilah bahawa anda boleh menyusukan bayi sejurus selepas kelahirannya. Ingat, pengeluaran susu ibu adalah berasaskan konsep permintaan dan penawaran. Jadi, susukan bayi sekerap mungkin sebaik kelahirannya. Fahami juga bahawa pada awal kelahiran bayi hanya mendapat kolostrum. Selepas iu, susu ibu akan meningkat sedikit demi sedikit. Teruskan kekerapan menyusu dan sentiasa berfikiran positif bahawa susu anda cukup untuk keperluan anak.

No comments:

Post a Comment