Cabaran
Menyusu bayi kembar adalah cabaran bagi ibu bapa
yang istimewa dan hebat. Sebaik mengetahui kandungan adalah bayi kembar,
ibu-ibu (dan juga bapa-bapa) perlu bersedia dari segi fizikal dan mental
menerima kehadiran dua bayi serentak, bersedia kemungkinan bayi lahir
pramatang, bersedia kemungkinan kelahiran secara pembedahan caesarean dan
membuat perancangan corak penyusuan kepada bayi.
Persediaan mental juga adalah sangat penting bagi
ibu yang bercadang memberikan penyusuan eksklusif untuk bayi kembar kerana akan
timbul persoalan tentang "susu tidak cukup". Ramai menganggap susu
ibu akan tidak cukup lebih-lebih lagi pada hari-hari awal kelahiran, maka salah
seorang atau kedua- duanya secara bergilir mungkin akan diberi susu formula!
Ini adalah suatu persepsi yang salah.
Para ibu harus sedar dan yakin bahawa berapa ramai
pun kembar yang dilahir serentak, susu ibu pasti cukup untuk mereka. Beberapa
panduan yang boleh diamalkan adalah dengan menyusu bayi seawal satu jam pertama
dilahirkan. Ramai ibu sudah sedia maklum tentang keperluan menyusu seawal satu
jam pertama ini untuk merangsang penghasilan susu ibu. Sekiranya ibu melahirkan
bayi pramatang dan kurang berat badan, penyusuan ibu adalah 'ubat' paling
mujarab untuk menambah berat badan bayi. Ini kerana susu ibu memang dicipta
untuk bayi baru lahir walau berapa pun usianya ketika dia lahir. Sekiranya ibu
melahirkan bayi secara pembedahan caesarean, mintalah bantuan jururawat untuk
memperbaiki posisi ibu ketika menyusu pada jam pertama. Sebaiknya berbincang
terlebih awal dengan doktor atau jururawat yang bertugas agar hasrat ibu untuk
menyusu pada 1 jam pertama dapat diimplementasikan.
Panduan seterusnya adalah dengan menyusu bayi
sekerap mungkin. Secara puratanya bayi baru lahir menyusu antara lapan hingga
12 kali dalam tempoh 24 jam. Bagi bayi kembar, ibu-ibu boleh menyusu
kedua-duanya serentak pada masa yang sama atau secara bergilir mengikut
keselesaan ibu. Pada minggu-minggu pertama mungkin ibu-ibu akan merasakan bayi
menyusu agak kerap dan keadaan ini akan meletihkan ibu. Ia adalah perkara
normal sebelum bayi menunjukkan pola penyusuannya selepas usianya sebulan.
Malah perkara ini harus diterima secara positif oleh ibu kerana ia menandakan
keperluan bayi untuk menyusu tinggi maka ia akan menghantar isyarat ke otak
bahawa penghasilan susu ibu harus ditingkatkan. Susukan bayi sebelum dia
menangis. Pada hari-hari awal kelahiran, biasakan rutin menyusu setiap setengah
jam. Jika ibu menyusu bayi seorang demi seorang aturkan masa menyusu supaya si
kembar tidak menangis ketika yang seorang lagi sedang menyusu.
Rehat
Ibu juga perlu perbanyakkan rehat. Ibu-ibu perlu
berehat dengan secukupnya untuk mengurangkan stres yang akan mengganggu
penghasilan susu ibu. Ibu boleh tidur dan berehat apabila bayi tidur.
Sesetengah ibu selalu menjadikan masa tidur bayi sebagai masa ibu untuk membuat
kerja. Ini adalah kurang tepat kerana ibu juga perlu berehat dan menenangkan
fikiran. Suami harus memainkan peranan membantu menguruskan perkara-perkara
lain sementara ibu menumpukan lebih perhatian kepada menguruskan bayi.
Minum banyak air dan makan makanan berkhasiat. Air
adalah komponen penting dalam penghasilan susu ibu. Amalkan minum air sambil menyusu
atau selepas menyusu sekurang-kurangnya segelas air, jus atau susu. Ibu menyusu
perlu makan makanan berkhasiat secukupnya untuk menampung kehilangan kalori
semasa penyusuan. Ibu-ibu juga digalakkan makan vitamin, kalsium dan zat besi
seperti yang diambil semasa hamil.
Anda perlu mengehadkan pelawat. Perkara ini mungkin
agak sukar untuk dilakukan kerana ramai pelawat yang terdiri daripada
rakan-rakan, jiran dan saudara mara ingin berkongsi kegembiraan dengan
kehadiran bayi kembar. Namun begitu ibu masih perlu memperuntukkan masa bersama
bayi terutama privasi ketika menyusukan bayi. Minta pelawat tinggalkan bilik
ketika masa menyusu telah tiba, ambil masa privasi anda kerana ia penting untuk
memastikan kelangsungan produksi susu ibu.
No comments:
Post a Comment