Sebelum kembali bekerja, anda perlu mengajar bayi
menyusu susu botol. Jika tidak, anda perlu menggunakan alternatif lain seperti
sudu, picagari ataupun jari. Seringkali masalah bayi yang tidak mahu menyusu
susu ibu menggunakan botol merisaukan para ibu yang akan kembali bekerja.
Jangan putus asa! Cabaran ini boleh diatasi jika anda mendapat bimbingan yang
betul berkenaan cara untuk memberikan botol kepada bayi. Setiap perkara yang
baru perlukan latihan dan dalam hal ini anda tidak terkecuali.
Menurut kajian pakar laktasi di Amerika Syarikat, masa yang paling sesuai untuk memperkenalkan botol pertama kepada bayi adalah ketika dia berumur antara empat hingga enam minggu. Ini dapat memastikan penghasilan susu anda sudahpun stabil dan seterusnya dapat mengurangkan risiko bayi keliru puting. Menunggu terlalu lama sebelum memperkenalkan botol pertama kepada bayi boleh menyebabkan dia lebih gemar menyusu menerusi payu dara dan berkemungkinan menolak botol sama sekali.
Dalam pada itu, pastikan apabila bayi sudah boleh menerima botol, jangan pula ia dijadikan amalan. Gunakan botol hanya apabila anda terpaksa berpisah dengan bayi! Bila bersama bayi, anda perlu menyusukannya terus dari payu dara. Anda tidak seharusnya memberikan botol sebagai satu tabiat harian jika anda tidak selalu berpisah dengan bayi kerana ia akan mempengaruhi penghasilan susu.
Walau bagaimanapun, untuk memastikan bahawa bayi anda tidak lupa dan dapat terus menerima botol anda dinasihatkan untuk memberikannya botol sekurang-kurangnya satu atau dua kali dalam seminggu. Contohnya, jika anda sedang bercuti panjang.
Anda juga dinasihatkan untuk menggunakan puting yang alirannya perlahan supaya walau apa pun usianya, dia tetap harus berusaha apabila menyusu dari botol. Botol yang mempunyai leher lebar (wide neck) dikatakan paling sesuai untuk bayi yang menyusu badan. Perhatian! Jangan tinggalkan bayi menyusu seorang diri, kerana banyak kes bayi tersedak susu sering berlaku sehingga boleh mengakibatkan kematian, jadi berhati-hati ye.
Antara tip yang dapat dikongsi ialah:
Gunakan puting jenis silikon dan bukannya lateks
kerana bayi mungkin tidak suka pada rasa atau baunya.
Seelok-eloknya alirkan air suam pada puting sebelum
memberikannya kepada bayi.
Pastikan susu tidak terlalu panas atau terlalu
sejuk.
Anda digalakkan untuk banyak bergerak apabila
memberikan botol kepada bayi. Ini dapat mengalihkan perhatiannya.
Posisi yang disyorkan apabila anda cuba untuk
memberikannya botol adalah menghalakan bayi ke hadapan dengan belakangnya di
depan dada anda dan bukan posisi cradle yang biasa.
Anda tidak seharusnya menyumbat puting ke dalam mulutnya,
sebaliknya membiarkannya menarik puting itu sendiri ke dalam mulutnya.
Biasanya bayi akan lebih mudah menerima botol
apabila mereka separa sedar. Contohnya ketika baru bangun tidur atau hendak
tidur.
Sekiranya bayi tidak mahu menyusu botol, minta bantuan
suami atau ahli keluarga lain untuk memberikan susu botol kepadanya. Ini adalah
kerana bayi sudah terbiasa dengan bau ibunya.
Paling penting! Jangan memaksa bayi kerana ini akan
menyebabkan dia menolak botol sama sekali. Anda perlu banyak bersabar dan
jangan berputus asa kerana ini memerlukan banyak latihan. Sebagai panduan,
jangan memberi botol lebih daripada 10 minit setiap masa. Jika bayi marah dan
menangis anda harus berhenti dan cuba lagi di lain masa.
Ketahuilah! Jika bayi menolak botol sama sekali anda boleh menggunakan kaedah lain seperti menggunakan sudu, cawan, picagari atau finger feeder (meletakkan tiub halus di jari anda). Ok Selamat mencuba!
No comments:
Post a Comment