Meneruskan amalan penyusuan ketika berpuasa adalah
selamat. Pada asasnya, amalan berpuasa sama sekali tidak akan mengganggu
pengeluaran susu ibu. Ia tidak bergantung kepada amalan pemakanan seharian.
Sebaliknya bersandarkan kepada keupayaan anda mengosongkan payudara efektif
sekerap yang boleh, menerusi penyusuan terus atau pemerahan payudara.
Perlu anda maklum bahawa dalam menjayakan penyusuan
susu ibu, ia melibatkan hormon prolaktin dan oksitosin. Prolaktin merupakan
hormon yang menghasilkan susu ibu manakala oksitosin pula merembesnya keluar.
Dalam pada itu, Feedback Inhibitor Of Lactation (FIL) adalah salah satu lagi
faktor dalam menentukan usaha anda menjayakan impian menyusukan bayi sepanjang
berpuasa.
FIL merupakan sejenis protein yang terdapat dalam
susu ibu yang terkumpul di dalam payudara. Ia sering memberi tindak balas
negatif kepada proses penghasilan susu apabila banyak FIL berkumpul di dalam
payudara akibat kurangnya rangsangan penyusuan daripada bayi mahupun disebabkan
oleh payudara tidak dikosongkan dengan efisyen.
Tahap FIL yang tinggi akan memberi isyarat kepada
otak agar penghasilan susu ibu dikurangkan, kesan kekurangan permintaan. Hal
sebaliknya berlaku apabila payudara anda sering dikosongkan. Jumlah FIL dalam
payudara menjadi rendah dan seterusnya menghantar isyarat supaya lebih banyak
susu ibu perlu dihasilkan.
Susu Kering
Tiada persediaan khas yang perlu anda lakukan dalam
memastikan bekalan susu ibu kekal sepanjang menjalani ibadah puasa. Apa yang
penting ialah anda perlu kekal berfikiran positif, terus menanam azam jitu bagi
meneruskan penyusuan sepanjang berpuasa dan pada masa yang sama memastikan diri
mengamalkan pemakanan seimbang dan menyihatkan.
Perlu diingatkan agar anda tidak khuatir dengan
terlalu memikirkan amalan berpuasa bakal mengganggu penghasilan susu dan menjadikannya
kering. Kebimbingan melampau akan menimbulkan perasaan tertekan yang akhirnya
mendorong kemerosotan bekalan susu ibu.
Pengeluaran susu ibu yang berkurangan bukan
disebabkan oleh ibadah puasa. Sebaliknya tekanan yang anda alami itu
mengahalang refleks pengeluaran susu (let down). Cara terbaik mengatasinya
mudah sahaja iaitu anda perlu sentiasa bertenang dan tidak terlalu memikirkan
hal ini.
Sehubungan itu, untuk makluman amaun susu ibu
mungkin berkurangan pada hari pertama berpuasa. Namun, jangan endahkan hal ini.
Sebaliknya anda perlu lebih kerap mengosongkan payu dara. Jika bersama bayi,
susukannya secara terus. Jika bekerja pula, perah dan kosongkan payudara dengan
sebaik mungkin dengan mengepam susu di setiap dua atau tiga jam sekali.
Biarpun berpuasa, pemerahan payudara perlu
berlangsung seperti biasa. Walau bagaimanapun, sebaik-baiknya mulakan rutin ini
di awal pagi iaitu ketika bersahur. Hal ini kerana aman susu ibu pada waktu ini
masih banyak. Sama juga halnya selepas anda berbuka puasa.
Dehidrasi
Dehidrasi boleh menyebabkan susu ibu berkurangan.
Oleh yang demikian, ambil perhatian sewajarnya bagi mengelakkan keadaan ini
berlaku dengan memastikan anda minum air secukupnya ketika bersahur dan berbuka
puasa.
Masalah dehidrasi yang teruk boleh menyebabkan
tekanan darah rendah, letih, menggigil, loya, pening dan rasa haus melampau.
Sekiranya keadaan ini berlaku, adalah lebih baik untuk anda berbuka puasa agar
tidak menjejaskan tahap kesihatan diri.
Walaupun begitu, meminum air bergaram mampu
mengembalikan keseimbangan bendalir badan yang terhidrat. Hal ini disebabkan
garam penting dalam mengembalikan kandungan sodium dan potasium dalam tubuh.
Anda boleh mencuba meminum air bergaram untuk mengatasi dehidrasi. Cara
membuatnya ialah campurkan sedikit garam dan gula bersama air sejuk. Untuk
mendapat rasa yang lebih enak, letakkan sedikit perasa ke dalam minuman ini.
Panduan Pemakanan
Minum Air Mencukupi
Anda perlu minum air yang mencukupi ketika sahur
dan berbuka bagi mengelakkan dehidrasi yang bakal menjejaskan penghasilan susu.
Seelok-eloknya minum dua liter atau bersamaan dengan lapan gelas air sehari.
Jangan Abai Bersahur
Usah sesekali meninggalkan waktu bersahur. Namun,
anda digalakkan untuk melambatkan makan sahur. Makanlah makanan yang kaya
dengan protein dan apa sahaja makanan berbentuk sup. Dalam pada itu, anda perlu
kurangkan pengambilan makanan bergoreng dan berminyak kerana ia boleh
mengurangkan nutrisi makanan yang diambil.
Makan Kurma Ketika Berbuka
Berbukalah dengan memakan kurma terlebih dahulu
sekurang-kurangnya tiga biji. Amalan sebegini dapat membekalkan tenaga segera
selepas berpuasa sepanjang hari.
Banyakkan Buah Dan Sayur
Makanlah buah dan sayur yang ternyata mengandungi
banyak khasiat yang bukan sahaja baik untuk tahap kesihatan anda malah bagus
untuk bayi juga.
Ambil Lebih Lemak Sihat
Jumlah lemak di dalam susu ibu berkurangan apabila
anda berpuasa. Untuk itu, anda perlu mengambil makanan yang mengandungi lemak
sihat mencukupi. Ini dapat dilakukan dengan mengambil susu dan produk tenusu
seperti keju, susu dan sebagainya.
Amalkan Madu
Anda sangat digalakkan untuk memakan madu setiap
hari sepanjang berpuasa kerana ia merupakan sumber tenaga semulajadi. Selain
daripada menambah stamina, ia mampu meningkatkan kadar serapan kalsium dalam
tubuh.
Elakkan Minuman Bikarbonat
Anda sememangnya digalakkan untuk minum banyak air
ketika berpuasa tetapi hindari pengambilan minuman yang mengandungi banyak gula
seperti air bikarbonat. Sama juga halya dengan minuman berkafein. Ketahuilah
bahawa kandungan gula dan kafein boleh mengganggu penghasilan susu ibu jika
diambil berlebihan.
Info
Penyusuan anak lelaki memerlukan lebih tenaga.
Jadi, makan lebih banyak nasi ketika bersahur. Bagi anak perempuan pula, anda
boleh kurangkan pengambilan nasi tetapi melebihkan buahan dan sayuran.
No comments:
Post a Comment