Pages

Monday 29 July 2013

Keguguran Dan Berpantang



Mengikut ilmu perbidanan Melayu, keguguran ialah situasi yang dianggap lebih serius daripada kelahiran. Keguguran umpama buah yang gugur sebelum masak dan dipercayai akan membawa kesan yang kurang menyenangkan, iaitu mudah diserang angin gugur atau dikenali angin jahat.


Angin Gugur - ialah angin yang menyerang selepas keguguran, mengakibatkan ibu mudah terdedah kepada pelbagai masalah alahan makanan dan persekitaran.


Bisa Keguguran - ialah rasa sakit yang tajam dan berdenyut di bahagian ari-ari, pinggang dan sendi selepas kejadian keguguran.


Angin gugur yang menjadi pembawa bisa keguguran akan sentiasa terpendap di dalam urat saraf sehinggalah ibu tersebut hamil semula dan melahirkan, barulah dia dapat kembali sembuh. Penyakit angin gugur ini tidak dapat diubati walaupun melalui kaedah moden seperti pembersihan rahim atau D&C. Malah, dipercayai angin ini akan bertambah mudah menyerang selepas rawatan D&C, terutama jika tidak dilaksanakan dengan sempurna.


Keadaan adalah lebih buruk bagi ibu keguguran yang tidak merawat diri dan cebisan darah lendir daripada janin serta sisa uri masih tertinggal di dalam rahimnya. Ibu keguguran seperti ini akan menghadapi masalah angin toksik yang boleh menyebabkan keracunan darah akibat infeksi di bahagian peranakan. Masalah keracunan darah dapat dielakkan sekiranya rawatan pencucian atau pembersihan rahim dilakukan dengan teliti dan sempurna.


Keguguran tanpa penjagaan yang rapi juga menyumbang kepada masalah angin merian yang berpunca daripada keracunan darah. Apabila bahagian rahim tidak dibersihkan dengan rapi, toksin akan meresapi ke seluruh sistem badan. Sering kali terjadi ibu mengalami demam panas sehingga terkancing gigi apabila mereka tidak berpantang makanan yang dilarang selepas berlakunya keguguran.


Mengikut petua Melayu, penjagaan dalam pantang bersalin adalah lebih mudah berbanding penjagaan ibu yang keguguran. Ibu dalam pantang bersalin dikehendaki sentiasa memanaskan badan dalam peraturan rawatan dan pemakanan. Berlainan halnya dengan ibu yang keguguran, sebab mereka tidak boleh dirawat dengan cara panas atau sejuk dari segi perubatan dan pemakanan. Oleh sebab itulah, bukan mudah untuk menjaga ibu-ibu keguguran, tambahan pula bagi yang tidak berpengetahuan atau berpengalaman dalam hal perawatannya.


Kebanyakan wanita hari ini mengambil ringan tentang kejadian keguguran. Ini terjadi kerana ramai yang jahil tentang pentingnya penjagaan diri selepas keguguran, manakala ilmu yang berkaitan tidak disebarkan secara meluas akibat terpengaruh dengan mentaliti perubatan moden. Walaupun kita menghormati ilmu dan sistem perubatan moden, kita percaya mereka belum cukup mendalami dan memahami hukum alam badan dan kesihatan manusia yang berkait rapat dengan suasana alam semulajadi.


Ramai wanita masa kini menganggap rawatan pantang keguguran secara tradisional adalah remeh kerana berpendapat bahawa proses kelahiran lebih teruk daripada proses keguguran. Oleh sebab itu, ilmu penjagaan tentang keguguran semakin ditelan zaman, bahkan hampir berkubur tanpa pengamalnya. Sesungguhnya, ilmu tersebut dapat mempercepatkan proses pemulihan "penyakit melanuih keguguran", seperti tekanan emosi, masalah kesuburan, lemah rahim, ketidakseimbangan hormon, serta bengkak dan bisa otot peranakan. Penyakit melanuih juga boleh menyebabkan bisa-bisa tumit, betis, lutut serta pinggang, kebas-kebas sendi, mudah seram sejuk, demam tidak kebah, dan kalah dalam perjuangan berjimak.



Tempoh Pantang Keguguran


Mengikut petua Melayu, terdapat pelbagai pantang larang ibu keguguran dari segi pemakanan dan cara hidup harian. Berpantang ibu bersalin ditamatkan mengikut jangkamasa keguguran. Jika berlakunya keguguran selepas dua minggu hingga tiga bulan kehamilan, ibu pantang berjimak selama 30 hari. Ini adalah kerana angin gugur telah sedia ada untuk menyerang atas kesilapan pantang larang.


Jikalau keguguran berlaku pada usia kehamilan 4-5 bulan, ibu harus pantang berjimak selama 40 hari. Jikalau keguguran berlaku lebih daripada bulan keenam, ibu pantang berjimak selama 44 hari. Namun, untuk lebih berkesan pantang larang pemakanan ibu keguguran akan tamat apabila ibu kembali hamil dan bersalin.



Pantang Larang Keguguran


Masyarakat Melayu tradisional mengenakan pelbagai pantang larang kepada wanita yang keguguran. Dipercayai jika wanita yang keguguran lalu atau berjalan di bawah penyidai kain akan mendapat sakit kepala. Jika terkena titisan hujan atau hujan panas serta terkena angin senja atau tengah malam beliau mudah dihinggapi demam panas atau demam mengiggil.


Bagaimanapun, pantang larang yang terutama ialah tidak boleh melintas di bawah pohon cermai atau memakan buah cermai kerana ia dipercayai boleh mencetuskan bentan atau kesan tegang urat sehingga membawa kepada demam menggigil.


Dari segi pemakanan, ibu keguguran mesti megelakkan makanan berangin, seperti ubi keladi, rebung, sayur keladi, pucuk paku, pucuk ubi, serta terung. Selain itu dipantangkan juga makanan yang sejuk serta menjalar seperti labu, kangkung, kacang panjang, timun, dan buah-buahan yang sejuk seperti ciku, betik, langsat, duku, macang, kuini, nangka, cempedak, pisang masak hijau, durian belanda dan tembikai madu. Turut ditegah mengambilnya ialah ikan yang berbisa seperti ikan berduri, terubuk, bawal hitam, tudung periuk, cencaru, tamban, sardin, pari dan makanan laut seperti udang, sotong, kerang, belacan, budu, cencaluk dan ikan masin.


Walaupun, petua pantang larang ini kelihatannya seperti tidak logik atau kejam, telah pun terbukti terjadinya alahan bagi ibu yang melanggarnya seperti bentan urat, demam yang susah turun, rambut gugur, mudah sayu, pekang, alahan kulit dan cuaca, serta mudah letih.



Jenis-Jenis Keguguran


Mengikut ilmu perbidanan Melayu, ada pelbagai jenis keguguran yang dapat dikesan dan dikenali. Antaranya disenaraikan seperti yang berikut ini.


Gugur Ugut


Gugur ugut (threatened abortion) atau dikenali juga sebagai gugur terancam, sering berlaku pada rahim yang lemah, seperti pintu rahim yang mudah terbuka apabila kehamilan berlaku dan kedudukan yang tidak mantap di dinding rahim. Keguguran jenis ini juga berpunca daripada ketidakseimbangan suhu badan, kelemahan darah, muntah yang kronik sehingga memberi tekanan di bahagian ari-ari atau ibu terjatuh dalam posisi yang boleh menyebabkan gugur ugut.


Gugur berlaku dengan keluaran tompokan darah pekat berwarna merah coklat, tanpa rasa sakit. Darah sering keluar setaip kali ibu bergerak. Petua Melayu mengesyorkan ibu hamil mengamalkan air bunga tanjung (lotus) atau herba hiya (artemisia bulgaris) sebagai membantu menghentikan berlakunya gugur ugut. Lazimnya, ibu yang kerap mengalami gugur pada setiap kehamilan disyorkan mengambil air rebusan bunga tanjung sebagai amalan harian untuk memantapkan kedudukan janin dan mencegah berlakunya gugur ugut.


Gugur Bentan


Jikalau gugur berlaku pada kehamilan tiga bulan ke atas, ia dikenali sebagai gugur bentan (inevitable abortion). Keguguran ini akan mengakibatkan tumpah darah. Ibu hamil akan terasa sakit seperti kontraksi di bahagian rahim atau ari-ari sehingga ke cawan muka di bahagian pinggul. Kesakitan ini seakan sakit senggugut yang serius atau sakit bersalin. Kesakitan ini adalah kerana janin telah membentuk dan mengeras, serta disalurkan dengan urat saraf ibu. Tumpah darah yang diikiuti dengan kesakitan ini boleh menyebabkan ibu menjadi lemah sehingga gelap mata atau pengsan. Mengikut ilmu perbidanan Melayu, gugur bentan ini berpunca daripada rahim yang kedudukannya telah lari termasuk ke bawah tulang kajang. Rahim tidak dapat membesar bersama janin. Apabila janin semakin membesar, rahim yang tidak dapat menimbul akan tertekan oleh tulang kajang dan gugur bentan akan berlaku. Perkara tersebut lazimnya berlaku kepada ibu yang biasa jatuh terhempap kuat di bahagian punggung, yang mungkin meyebabkan kecacatan posisi rahim.


Ada juga kejadian gugur gara-gara ibu yang ingin menjarakkan kehamilannya melalui urutan yang tersalah cara. Akibatnya mulut rahim terkalih dari posisi yang bertentangan dengan pintu faraj, sehingga berlakunya posisi yang songsang atau rahim terbenam di dalam salur bawah tulang kajang.


Gugur Sangkut


Dalam gugur sangkut atau gugur tak sepenuhnya (incomplete abortion), tumpah darah yang banyak akan berlaku berlarutan sehingga beberapa hari. Keadaan ini menandakan masih ada baki tisu janin atau tisu uri yang tertinggal di dalam rahim. Rahim akan membengkak dan mulutnya terbuka luas. Keadaan ibu akan kelihatan pucat dan lemah, bahagian ari-ari atau rahimnya tidak boleh disentuh walau dengan cara lembut kerana terlalu sakit.


Jika dibiarkan, lama-kelamaan ibu tidak boleh berjalan lurus kerana terlalu sakit di bahagian tersebut dan sentiasa berbongkok menahan sakit. Adakalanya jika rumah berlantaikan papan, kesan tapak kaki berjalan pun mencetuskan jeritan kesakitan daripada ibu tersebut.


Gugur Sawan Atau Gugur Keracunan


Gugur sawan (septic abortion) berlaku apabila ibu hamil mengeluarkan darah berbau busuk dan mengandungi nanah, yang mana rahimnya dikatakan mengalami keracunan. Keadaan rahim akan membengkak dan mengeras menyebabkan ibu mengalami demam panas yang serius. Demam tersebut boleh membuatkan ibu menggigil sehingga terkancing gigi dan mata berpusar seperti keadaan penyakit tarik.


Mengikut ilmu perbidanan Melayu, disyorkan pelbagai rumusan herba untuk membantu membersihkan angin dan darah yang keracunan dalam sistem peranakan.


Gugur Bangkai Atau Kecacatan Kehamilan


Mengikut ilmu perbidanan Melayu, kandungan yang tidak membesar serta janin tidak bernadi menandakan kecacatan kehamilan. Tetapi janin yang mati itu disaluti dengan pendarahan dalaman rahim yang merupakan sebentuk gumpalan isi serta darah.


Keguguran ini berlaku apabila terdapat keluaran ketulan darah beku berwarna merah tua, disusuli dengan cebisan-cebisan isi. Kejadian ini dikenali sebagai gugur bangkai (missabortion). Ibu yang mengalami keadaan ini akan sentiasa pening atau sakit kepala dan loya yang serius.


Gugur Badai Atau Gugur Berulang


Mengikut tafsiran perbidanan Melayu, wanita yang sering mengalami keguguran atau gugur berulang kali, dikenali sebagai gugur badai (recurrent abortion). Wanita tersebut dikatakan mengalami kelemahan rahim, terutama di bahagian leher dan mulut rahim, yang mana anggota itu tidak dapat memegang atau memikul kehamilan dengan kuat.


Setiap kali pergerakan kuat berlaku atau mengalami keletihan yang amat sangat, ibu menghadapi risiko keguguran. Akibat kerap gugur, ibu hamil itu walaupun diberi sepenuh rehat tanpa banyak pergerakan termasuk berjimak, keguguran masih juga boleh berlaku. Mengikut kefahaman lama, ibu ini bermasalah penyakit deria rangsang wanita, iaitu ketidakseimbangan hormon. Penyakit deria rangsang wanita ini dapat menyebabkan pelbagai masalah, satu daripadanya ialah gugur badai.


Gugur Paksa


Gugur paksa atau mengeluarkan janin dengan cara paksa dari rahim telah lama dipratikkan oleh masyarakat berbilang bangsa. Perkara yang terkutuk, bercanggah dengan prinsip kemanusiaan dan diharamkan oleh agama ini masih berleluasa dilakukan dengan pelbagai kaedah, asalkan pengguguran itu berjaya.


Gugur paksa merupakan perkara yang amat sensitif dalam kalangan masyarakat. Perbuatan hina ini bukan topik yang dibualkan secara terbuka, terutama pada zaman dahulu. Sebaliknya kebanyakan keguguran semulajadi yang berlaku diterima sebagai suratan takdir.


Gugur paksa pula amat dirahsiakan kerana masyarakat Melayu tidak menerimanya walaupun dilakukan dengan tujuan untuk membantu mangsa rogol atau wanita yang dianiaya. Jikalau gugur paksa diketahui ramai, mangsa rogol itu akan dihina masyarakat dan menjadi buah mulut.



Berpantang Sepanjang Masa


Penyakit atau masalah keguguran akan hilang atau sembuh selepas berlakunya kehamilan kembali. Namun, bagi mereka yang keguguran dan tidak hamil lagi, mereka perlu mengawasi pemakanan dengan menjauhi benda-benda yang dilarang sampai bila-bila.


Ini kerana apabila dimakan, walaupun sedikit, mereka akan mendapat kesan sampingan yang akan melemahkan tubuh atau mengakibatkan penyakit bisa otot dan sendi. Apalagi kalau dimakan secara berlebihan, akan menjadi punca penyakit angin pasang atau barah angin. Sebagai mengatasi penyakit akibat keguguran, rawatan dan pemakanan secara tradisional mesti diamalkan. InsyaAllah mereka yang mengalaminya akan kembali pulih ataupun sekurang-kurangnya kesan penyakit tersebut dapat dikurangkan.


Angin Pasang - ialah angin beracun yang juga dikenali angin jahat.


Barah Angin - ialah kejadian gumpalan angin lendir bertoksik yang mengeras dan berlegar di dalam perut.
Untuk mendapatkan info yang lebih detail, jom singgah blog Kak Engku Bidan Bersalin ye.



Set Ibu Berpantang Keguguran Shaklee ada di BisnesMama.

No comments:

Post a Comment