Kematian bayi akibat tersedak susu atau tercekik
makanan semakin banyak dilaporkan. Walaupun kes ini dianggap terpencil, ibu bapa
tidak harus memandang ringan kejadian-kejadian tidak diduga ini. Masalah ini
berpunca daripada proses menelan makanan oleh bayi.
Penyusuan bayi adalah satu proses yang memastikan
makanan yang ditelan memasuki saluran makanan iaitu esofagus. Ia bersambung
dengan perut dan kemudiannya ke usus kecil dan besar manakala saluran
pernafasan (trakea) bersambung dengan paru-paru.
Jika trakea ini tersumbat, udara tidak akan dapat
masuk ke dalam paru-paru lalu menyebabkan organ-organ di dalam badan tidak
mendapat bekalan oksigen. Organ seperti jantung dan otak jika tidak mendapat
bekalan oksigen, tidak dapat berfungsi dan ini boleh menyebabkan kematian.
Dalam keadaan yang normal, makanan yang turun dari mulut tidak akan masuk ke
dalam trakea.
Ini kerana apabila kita menelan, struktur yang
dinamakan epiglotis yang terdapat di bahagian pangkal salur trakea akan menutup
salur trakea dan makanan itu hanya akan melalui saluran esofagus. Proses inilah
yang dilalui bayi yang sedang minum susu.
Selain itu, di dalam larinks juga terdapat kotak
suara (vocal cord). Semasa bayi menangis, kotak suara ini bergetar dan larinks
tidak ditutup oleh epiglotis.
Oleh itu, apabila bayi diberi minum susu ketika dia
sedang menangis dengan kuat, risiko untuk susu termasuk ke dalam saluran
pernafasan adalah lebih tinggi.
Posisi Bayi
Faktor-faktor lain yang menyebabkan bayi tersedak
susu adalah posisi bayi ketika menyusu. Susu lebih senang memasuki salur
pernafasan jika bayi baring terlentang. Cara kedua yang boleh menyebabkan
gejala tersedak susu adalah gastroesofagial reflux. Dalam keadaan ini,
susu di dalam perut akan keluar semula ke atas melalui esofagus dan kemudian
memasuki saluran trakea. Ini disebabkan oleh otot sfinkter antara esofagus dan
perut yang masih lemah pada bayi.
Reflux ini lebih mudah berlaku jika bayi menyusu
dalam keadaan terlentang. Jenis susu yang lebih pekat boleh digunakan untuk
mengurangkan masalah reflux ini. Kebiasaannya masalah reflux akan pulih dengan
sendirinya apabila bayi semakin membesar.
Terdapat juga kes-kes bayi lemas ketika menyusu
disebabkan penyakit kongenital atau saraf yang boleh menjejaskan fungsi saluran
makanan dan pernafasan.
Contoh penyakit kongenital seperti trakeo-esofagial
fistula iaitu terdapat komunikasi di antara trakea dan esofagus. Walaupun
jarang terjadi, faktor penyakit ini meninggikan risiko seseorang bayi itu untuk
mengalami masalah tersedak ini. Jika berhadapan dengan situasi mencemaskan ini,
berhenti menyusukan dengan segera dan tegakkan posisi bayi.
Sekiranya bayi kelihatan sukar bernafas segeralah
ke hospital yang berdekatan.
No comments:
Post a Comment