Pages

Tuesday, 23 July 2013

Kepercayaan Berkaitan Penyusuan Susu Ibu



Di Malaysia pantang larang dan penjagaan makanan adalah perkara biasa yang diamalkan selepas bersalin. Walaubagaimanapun waktu selepas bersalinlah merupakan tempoh ibu-ibu memerlukan diet yang berzat untuk menggantikan tenaga, darah dan nutrient yang telah hilang. Kakitangan kesihatan boleh menolong ibu-ibu yang ingin mengikut pantang dengan mengesyorkan berbagai pilihan makanan diet ibu.

Makanan biasanya dikelaskan sebagai 'panas', 'sejuk', 'racun' atau 'angin'. Kepercayaan bahawa ibu yang baru lepas bersalin adalah sangat sensitif kepada makanan 'sejuk' terdapat pada semua kaum. Kebanyakan makanan dikelaskan sebagai makanan 'sejuk' adalah buah-buahan dan sayur-sayuran yang kaya dengan vitamin dan mineral. Ibu-ibu selalunya percaya bahawa makanan seperti ini mungkin boleh menyebabkan kembong kepada bayi yang disusui atau akan melemahkan tubuh ibut dan meningkatkan kehilangan darah. Walaubagaimanapun tiada terdapat kajian saintifik yang boleh menyokong kepercayaan ini.

Makanan yang dikelaskan sebagai 'bisa' termasuk telur, udang, sotong, kerang dan beberapa jenis ikan. Adalah dipercayai bahawa makanan ini jika dimakan boleh menyebabkan gatal pada luka atau pembedahan, dan ini akan melambatkan pemulihan. Dalam hal ini juga terdapat kajian saintifik yang boleh menyokong kepercayaan ini.

Makanan 'berangin' meliputi makanan seperti nangka, cempedak, ubi, keledek, beberapa jenis pisang, timun dan lain-lain.

Makanan-makanan 'panas' seperti lada merah, lada hitam dan kopi adalah makanan yang diamalkan sebab makanan ini dipercayai boleh memanaskan badan selepas bersalin. Beberapa kajian telah menunjukkan bahawa ibu-ibu lepas bersalin mengamalkan diet yang terhad semasa pantang seperti nasi, garam, lada hitam, dan ikan kering, Bagi kaum cina pula makanan seperti ayam dan halia serta wine. Nutrient yang terdapat dalam diet seperti ini adalah sangat terhad. Pengambilan air juga terhad sebab kepercayaan yang salah bahawa air yang banyak boleh menambahkan kehilangan darah masih dipegang. Diet seperti ini boleh menyukarkan penyusuan, terutama sekali dari aspek kuantiti susu yang dikeluarkan. Ini juga boleh mengakibatkan kekurangan pemakanan dan sembelit pada ibu.

Oleh kerana ramai ibu masih lagi mengamalkan pantang seperti ini, kakitangan kesihatan mungkin boleh mengesyorkan makanan lain bagi mengatasi masalah seperti ini.

Sebagai contoh, sekiranya pengambilan air oleh ibu terhad, kakitangan kesihatan boleh mengesyorkan ibu memakan lebih kuah dan sup dengan makanan lain. Untuk ibu di bandar, terdapat beberapa buah-buahan yang diimport tidak termasuk dalam pengkelasan makanan 'panas' atau 'sejuk', buah-buahan ini boleh dimakan kadangkala semasa pantang.

Di bawah adalah senarai beberapa sumber nutrient yang boleh dicadangkan kepada ibu-ibu yang bersalin untuk mempelbagaikan diet:

Kalsium: susu, keju, tairu, ikan bilis, sardin, budu, taukua, tauchoo, fucuk, daun kelor, cekor manis, bayam, karot, ulam raja, pegaga, kaduk dan pucuk betik

Vitamin A : hati ayam, hati lembu, bayam, lada, cekur manis, daun turi, pegaga, karot dan mengkudu

Asid folik: hati, daging, sayuran hijau dhall

Vitamin C: jambu, jambu ajus, betik, limau, lada, kacang kelo, pucuk ubi, cekor manis, daun turi, mengkudu, daun pegaga, kadok dan selom.

Ferum: hati lembu, paru, buah pinggang, kerang, udang kering dan pegaga


Kesimpulan:

Akhir sekali perlu diketahui bahawa persediaan untuk penyusuan ibu bukan bermula selepas melahirkan bayi tetapi semasa waktu mengandung lagi. Ibu yang ingin menyusukan bayi harus bersedia bukan sahaja dari aspek fisiologi seperti jagaan pemakanan dan kesihatan tetapi persedian mental juga penting. Kedua-dua faktor ini adalah kritikal untuk mempastikan kejayaan penyusuan ibu.

No comments:

Post a Comment