Biasanya bayi anda tidak akan menolak apabila tiba
masa menyusu, tapi kali ini dia tidak mahu menyusu langsung. Mogok menyusu
banyak berlaku pada bayi yang berumur 3 bulan ke atas tanpa sebarang sebab.
Tabiat berhenti menyusu secara semulajadi amat jarang berlaku dalam tempoh
setahun pertama, dan ia lazimnya berlaku secara perlahan-lahan. Bayi juga tidak
mempamerkan rasa gelisah semasa berhenti menyusu secara semulajadi.
Mogok menyusu ini boleh berlaku selama beberapa
hari, malah oleh berlanjutan selama seminggu dua. Ada ibu yang memilih untuk
berhenti menyusu dalam tempoh mogok ini, tapi biasanya bayi boleh dipujuk untuk
menyusu kembali. Yang penting, ibu perlu ada kesabaran dan kesungguhan untuk
menjayakannya.
Bayi juga mungkin menunjukkan keengganan menyusu
sebelum dia mempamerkan kemahiran perkembangannya seperti merangkak, berdiri
atau berjalan.
Cara Memujuk Bayi Kembali Menyusu
Sebelum menyusu, pam atau perah payudara anda
supaya pengaliran susu lebih lancar dan puting lebih panjang. Bayi mungkin suka
cara lebih mudah ini.
Latih bayi menghisap jari telunjuk atau jari
kelingking anda beberapa minit sebelum menyusu. Ini akan melatih dia
menjatuhkan lidahnya untuk menyusu.
Menyusu secara kerap - sekerap yang anda mampu.
Susui bayi anda sebelum dia terlalu lapar atau sebelum dia menangis.
Cuba menyusukan bayi anda ketika dia mengantuk atau
baru terjaga dari tidur. Sesetengah ibu mendapati bayi mereka secara semulajadi
akan menyusu sebelum tidur.
Ubah kedudukan anda ketika menyusu. Cuba menyusu
sambil berbaring bagi mengurangkan gangguan. Lakukannya di dalam bilik yang
sunyi dan malap.
Menyusu sambil bergerak, berjalan, mendodoi,
berayun, mengenjut dan sebagainya.
Berikan sentuhan kulit ke kulit sekerap yang boleh.
Buka pakaian bayi dan baju anda (jika boleh).
Titiskan susu dada yang telah diperah ke atas
puting di sudut mulut bayi anda semasa menyusu.
Andainya mogok itu berlanjutan selama beberapa
hari, bayi mungkin lebih bersedia menyusu jika aliran susu cepat dan tetap.
Sekiranya bayi membuat ragam ketika anda cuba
memujuknya menyusu, hentikan usaha anda dan tenangkan bayi dahulu sebelum anda
mencuba lagi sekali.
Apa Yang Boleh Anda Lakukan
Semasa bayi mogok menyusu, anda masih perlu memerah
susu seperti mana anda biasa menyusu untuk mengekalkan bekalan susu anda. Jika
mogok itu berlanjutan lebih sehari, cuba gunakan pam yang boleh memerah
kedua-dua payudara anda serentak bagi meningkatkan hormon yang menghasilkan
susu.
Apabila memberikan susu yang telah diperah kepada
bayi anda, Gunakan peralatan lain seperti cawan, sudu, picagari atau penitis
ubat. Elakkan daripada menggunakan botol. Jika terpaksa menggunakan botol, guna
puting yang perlahan alirannya supaya bayi terpaksa bekerja keras untuk minum
daripada botol, jadi dia akan beralih untuk menyusu badan.
Punca Bayi Enggan Menyusu
Gigi mula tumbuh
Sakit
Lepuh dalam mulut bayi
Rasa susu berubah
Takut akan reaksi ibu apabila puting digigit.
Perpisahan yang lama antara ibu dan anak.
Kekerapan menggunakan botol atau puting.
Bekalan susu yang kurang.
Cukup Atau Tidak?
Bayi biasanya kurang menyusu dalam tempoh 24-36 jam
pertama, namun kalau ia berpanjangan, anda perlu mengesan masalahnya.
Barangkali dia sukar bernafas ketika menyusu kerana payudara anda menutup
hidungnya, atasi masalah ini dengan membetulkan kedudukan bayi dan menarik
sedikit bahagian atas payudara anda.
Anda juga mungkin risau bayi anda tidak cukup
kenyang ketika menyusu. Usah bimbang, bayi anda tahu bila dia kenyang. Oleh itu
jangan memaksanya menyusu, terutama kalau anda menggunakan susu formula. Patuhi
sukatan susu formula yang diberi. Sukatan berlebihan boleh menyebabkan bayi
anda obes dan masalah ini mungkin berterusan sehingga dia dewasa.
No comments:
Post a Comment