Susu manusia (ibu) amat baik sekali untuk bayi yang
baru lahir dibandingkan dengan susu haiwan, sama ada yang segar atau yang telah
diproses di dalam tin dan sebagainya. Susu manusia dijadikan Allah sesuai untuk
anak manusia dan susu haiwan sesuai untuk anak haiwan. Oleh sebab itu, hikmah
Allah menjadikan pembinaan susu bagi seseorang wanita ketika lepas bersalin
adalah sebagai persiapan untuk bayinya. Jadi, tidak patut sekali seseorang ibu
mengeringkan susunya, kononnya jika memberi susu kepada anaknya menyebabkan
payudaranya tidak cantik, kendur dan sebagainya. Hakikatnya, dengan menyusu
anak, boleh mencantikkan payudara seseorang wanita.
Antara kelebihan-kelebihan susu ibu adalah seperti berikut:
Susu manusia (ibu) sesuai untuk manusia, seimbang
dan sterile atau terpelihara dan bebas daripada kuman.
Susu manusia kurang protein dan kasein berbanding
dengan susu lembu. Kasein ialah protein yang dimendakkan daripada susu dan
merupakan asas keju dan plastik tertentu.
Susu manusia mudah dihadam kerana lembut dan cair,
berbanding susu haiwan yang pekat dan susah dihadamkan, khususnya bagi bayi.
Susu manusia lebih banyak mengandungi laktase,
vitamin dan zat galian yang seimbang. Laktase ialah sejenis enzim yang
menukarkan gula dalam susu menjadi glukosa (gula ringkas) dan galaktosa (gula
ringkas yang kurang larut dan kurang manis daripada glukosa).
Walaupun kini para saintis pemakanan telah mencipta
"susu formula" yang dihasilkan daripada susu lembu, yang hampir
menyamai susu manusia, namun susu itu memerlukan perhatian yang teliti ketika
dicampur dan disimpan bagi mengekalkan keadaan sterile (bersih dari kuman) dan
selamat untuk bayi.
Dari segi psikologi, aksi bayi ketika menyusu
merapatkan rangsangan kasih sayang kedua-dua pihak, ibu dan bayi. Hisapan itu
membawa pelepasan hormon dari hipotalamus dalam otak yang meningkatkan
kepantasan dan kecekapan involusi atau pengecutan semula rahim.
Susu ibu mengandungi kandungan protein yang
dikenali sebagai lactoferrin yang berkemampuan menghalang pembiakan kuman pada
sistem usus bayi dan ini mengurangkan cirit-birit.
Najis bayi yang menerma susu ibu, akan menjadi asid
dan ini menyebabkan ketidaksesuaian untuk pembiakan kuman dalam sistem usus.
Susu ibu juga mempunyai sel yang datangnya daripada
ibu. Susu ibu berupaya membasmi jangkitan kuman serta virus selain mengandungi
enzim penting untuk menolong sistem penghadaman bayi.
Secara purata, seseorang ibu mampu mengeluarkan
400-900 mililiter (ml) susu setiap hari. Daripada jumlah ini, terdapat 80.9%
protein, 2.13% lemak dan 6.9% - 7.2% laktos. Kandungan garam seperti natrium
dan kalsium pula rendah.
Bayi berupaya menyerap kandungan zat besi daripada
susu ibu dengan lebih sempurna berbanding susu lembu.
Oleh itu bagi ibu-ibu yang sedang menyusu, digalakkan memakan makanan yang berkhasiat agar bayi yang disusunya menerima pati makanan yang terbaik. Antaranya ialah ikan, telur, ayam, sayur-sayuran dan sebagainya. Ibu juga perlu memastikan sumber yang diterima adalah dari rezeki yang halal.
Kelebihan Anak Yang Disusui Dengan Susu Ibu
Para ahli kesihatan merumuskan hasil daripada penyusuan susu ibu (susu badan) telah memberi kesan yang amat baik berbanding susu lain. Antara rumusan yang didapati adalah
Watak anak lebih lembut
Emosi bayi lebih stabil
Anak lebih mengasihi ibunya serta adik-beradik
Anak berasa terjamin, yakin dan lebih berani
Anak tidak mudah ditimpa tekanan jiwa
Minda anak lebih cemerlang
Fizikal anak lebih kebal dari penyakit
No comments:
Post a Comment